'Henti sebar gambar arwah tersepit lif'

0
15



Pendang: “Malam sebelum kejadian, saya tak sedap hati, malah tak dapat lelapkan mata. Tak tahu kenapa tiba-tiba perasaan itu berlaku kerana ketika itu Muhammad Zairul pulang lewat dari kerja.

“Perasaan itu berlarutan sehingga semalam (kelmarin) sebelum saya menerima berita mengejutkan ini,” kata Chik Saad, 40.

Dia adalah ibu kepada Muhammad Zairul Naim Zaini, 16, yang maut akibat tersepit pada lif barang di tempat kerjanya, kelmarin.

Menurut Chik, anak sulung daripada dua beradik itu langsung tidak menunjukkan perubahan sikap kerana sibuk bekerja di kedai perkakas dan aksesori di Jalan Sukamari, di sini, sejak empat bulan lalu.

Katanya, rakan sekerja anaknya datang ke rumah mereka jam 4 petang dan memberitahu berhubung kejadian itu.

“Hanya Allah yang tahu perasaan ketika itu kerana dia banyak membantu keluarga mencari wang sejak berhenti sekolah di tingkatan dua, malah tak sempat melihat keadaan anak ketika itu kerana tidak dibenarkan masuk,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paya Palas, di sini, semalam.

“Saya reda dengan kejadian yang berlaku pada anak dan menganggap ia takdir kerana arwah seorang anak yang baik,” katanya.

Dalam pada itu nenek mangsa, Siti Fatimah Yusuf, 59, berkata, dia menunggang motosikal seorang diri ke tempat kejadian dan begitu sebak apabila mengetahui Muhammad Zairul Naim meninggal dunia dalam kejadian itu.

Dia berharap orang ramai berhenti menyebar gambar arwah cucunya di media sosial ketika kejadian kerana ia boleh mengganggu emosi keluarga.

“Kami sekeluarga tak sanggup tengok gambar arwah yang tersebar di media sosial termasuk di WhatsApp, tolonglah hentikan penyebarannya.

“Arwah dah pergi dengan tenang dan janganlah tambahkan lagi kesedihan kami sekeluarga,” katanya.

Akhbar semalam melaporkan, seorang remaja berusia 16 tahun maut selepas tersepit pada lif barang di kedai perkakas dan aksesori di Jalan Sukamari, di sini, kelmarin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here