Hero Seorang Cinderella gagal saingi SHMP?

0
46


AKTOR, Fattah Amin. – Foto Mahzir Mat Isa

KUALA LUMPUR: Aktor Fattah Amin mendakwa belum menerima kenyataan rasmi berhubung ‘rating’ drama lakonannya bersama Nur Fazura, Hero Seorang Cinderella (HSC), yang berakhir tayangannya penghujung Jun lalu.

Justeru, Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 itu enggan mengulas lanjut perkara berkenaan.

Menurut Fattah, biarpun timbul pelbagai spekulasi berhubung perkara terbabit, beliau memilih untuk tidak memberikan komen kerana belum menerima apa-apa kenyataan rasmi daripada pengarah dan penerbit drama bersiri terbabit.

“Saya tidak tahu menahu mengenai ‘rating’ HSC kerana belum dapat sebarang angka lagi. Malah, pengarah drama itu, Michael Ang, juga belum membuka mulut mengenai jumlah tontonan.

“Oleh itu, lebih baik saya tidak memberikan komen apabila ada yang mendakwa HMC mencatat angka lebih rendah berbanding drama Michael sebelum ini, iaitu Suri Hati Mr Pilot (SHMP),” kata Fattah kepada BH Online.

Terdahulu, ada desas-desus mengatakan HSC tidak dapat mengatasi jumlah tontonan SHMP yang turut menampilkan Fattah selaku teraju utama.

Dalam perkembangan terbaru, Fattah baru saja dilantik sebagai duta produk minuman F&N untuk tempoh setahun.

Dipilih menjadi wajah pelbagai produk, beliau menganggap tawaran yang diberikan sebagai rezeki buatnya.

“Alhamdulillah, saya anggap peluang dipilih menjadi duta produk ini sebagai satu penghargaan. Sekali gus, saya menggunakan kesempatan ini untuk mendekati peminat menerusi program Hari Raya anjuran F&N yang diadakan sempena Aidilfitri.

“Biarpun penat dengan pelbagai urusan kerjaya, saya tetap meluangkan masa untuk mendekati peminat menerusi program sebegini.

“Ia adalah hadiah buat peminat yang tidak putus memberi sokongan terhadap perjalanan kerjaya saya,” kata Fattah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here