Hidang makanan atas papan pemotong, restoran didenda

0
59
Advertisement

BIRMINGHAM: Adakah anda lihat makanan yang dihidang terus atas papan pemotong suatu yang unik dan mengikut trend popular? Pernahkah kita terfikir bahawa cara itu boleh mendatangkan penyakit?

Sebuah restoran di Birmingham, England telah didenda sejumlah 50,000 pound Sterling kerana menghidangkan makanan atas papan alas pemotong, dan mengakibatkan 14 orang mengalami keracunan makanan.

Ibrahim’s Grill and Steakhouse dikenakan hukuman tersebut setelah pengusahanya mengaku bersalah dalam mahkamah mengenai pelanggaran peraturan kebersihan.

Restoran itu telah didatangi pegawai kesihatan pada Oktober 2016 selepas menerima aduan daripada pelanggannya. 

“Dalam lawatan mengejut dua bulan kemudian, mereka masih menggunakan papan kayu itu sebagai alas makanan,” kata Majlis Bandar Raya Birmingham menerusi akaun Twitter rasmi mereka pada 6 Januari 2017.

Pihak majlis bandar raya berkata, papan kayu yang digunakan sebagai alas hidangan sangat sukar dibersihkan sepenuhnya.

Walaupun pihak restoran sudah meningkatkan amalan kebersihan selepas kunjungan pegawai kesihatan tersebut, pemeriksaan lanjutan mendapati ada banyak aspek kebersihan lain yang tidak diberi perhatian.

Antara kesalahan lain yang dilakukan adalah terlalu bergantung kepada penggunaan sarung tangan pakai buang, berbanding amalan mencuci tangan dengan betul.

Restoran itu juga tidak menggunakan bahan kimia yang betul dalam kerja-kerja pembersihan.

Selain denda, restoran itu juga perlu membayar kos guaman pengadu.

Kebangkitan trend menghidangkan makanan atas papan pemotong, batu, kepingan logam atau permukaan lain selain pinggan biasa telah menimbulkan banyak perdebatan dalam kalangan rakyat di Barat.

Sementara ada yang berpendapat trend itu tidak menjejaskan kesihatan seseorang selagi aspek kebersihan dan pembersihan dibuat dengan betul, masih ramai yang skeptikal mengenainya.

Ramai yang menzahirkan kebimbangan tentang amalan di dapur restoran yang dikatakan tidak mengikut piawaian hingga boleh menyebabkan jangkitan bakteria berbahaya seperti Salmonella.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here