Higuain sedia beraksi

0
36
Advertisement



PENYERANG Argentina, Gonzalo Higuain berharap proses menandatangani kontrak bersama AC Milan dapat diselesaikan selewat-lewatnya hari ini, selepas membuat keputusan untuk meninggalkan Juventus.

Perjanjian sama juga kemungkinan menyaksikan tonggak pertahanan Itali, Leonardo Bonucci akan kembali semula ke Turin selepas semusim bersama AC Milan.

Beberapa penyokong dilihat menunggu ketibaan Higuain di hotel Milan dengan media tempatan menjangkakan pemain itu akan menjalani ujian perubatan dan kecergasan.

“Sangat bagus untuk melihat kehadiran penyokong, tetapi saya juga mahu mengucapkan ucapan terima kasih kepada Juventus yang memberi saya peluang untuk bersama mereka sebelum ini,” katanya kepada pemberita.

“Saya akan melakukan lawatan (perubatan) dan kemudian saya berharap untuk menandatangani. Saya harap semuanya berjalan lancar dan dapat diselesaikan dengan baik.” 

Higuain berpindah ke Juventus pada musim 2016 dengan rekod perpindahan 90 juta euro (RM427 juta), selepas menikmati musim gemilang di Napoli sebelum itu apabila meledak 36 gol di kancah Serie A.

Tonggak berusia 30 tahun itu kemudiannya mencipta gemilang sepanjang dua musim bersama Juventus apabila memenangi gelaran Serie A dan Coppa Italia dengan menjaringkan 55 gol dalam 105 penampilan, termasuk 40 gol dalam 73 aksi di liga domestik itu.

Bagaimanapun, aksi baiknya bersama kelab gagal diteruskan ketika mewakili Argentina terutama di saingan Piala Dunia Russia yang menyaksikan mereka tersingkir awal selepas tewas 3-4 kepada juara dunia, Perancis di pusingan kedua.

Sementara itu, Bonucci pula menghabiskan tujuh musim di Juventus untuk membantu mereka memenangi enam gelaran Serie A berturut-turut sebelum menyertai AC Milan pada musim lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here