Himpun maklumat di laman sosial

0
99



Ramadan bulan terbaik bagi umat Islam beramal dengan menghulurkan sedekah terutama kepada golongan memerlukan seperti anak yatim, fakir miskin dan gelandangan yang menagih bantuan di samping mengingatkan diri sendiri betapa peritnya derita orang lain.

Dalam satu hadis bermaksud, “Daripada Abu Hurairah, Nabi Muhammad SAW bersabda: ‘Belanjakan harta saudara, pasti saudara diberi harta oleh Tuhan.’” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sudah pasti hadis tadi memberi pengajaran menjadikan kita tidak kedekut dalam membantu sesama insan dan bukan bersedekah ketika ada lebihan harta saja.

Pada zaman teknologi kini, bersedekah bukan lagi hanya boleh dilakukan dengan mendermanya di masjid namun laman sosial seperti Facebook digunakan sebagai ‘crowdsourcing’ bagi mencari lebih ramai insan yang memerlukan bantuan.

‘Crowdsourcing’ bermakna pengguna Internet menggunakan media sosial untuk memperoleh sesuatu maklumat.

Misalnya dalam konteks menderma tadi, pengguna boleh memanfaatkan Facebook dengan meletakkan status seperti ‘Ingin menderma kepada yang memerlukan, sila komen untuk memaklumkan keluarga daif yang layak memerlukan’.

Dalam tempoh sekejap saja, pasti ada individu mengetahui kedaifan keluarga yang memerlukan dan memberi komen kepada status terbabit.

Bukan itu saja, kemungkinan besar kedaifan keluarga terbabit mungkin terlepas pandang sebelum ini dan tidak diberi perhatian namun dengan kuasa media sosial, ia mampu memberi sinar kepada mereka.

Sudah pasti dengan Facebook pun membolehkan sedekah berlangsung yang sesungguhnya banyak ganjarannya. Walaupun tidak besar jumlah yang dikeluarkan untuk membantu, niat dan keikhlasan hati yang menjadi keutamaan, sekali gus mendapat nilaian Allah SWT.

Pemberian bantuan Ramadan seperti makanan harian juga salah satu sedekah yang baik terutama jika ia diagihkan kepada insan yang betul-betul memerlukan.

Jadi, anda perlu menyemak dulu ketelusan dan kebenaran sebelum bersedekah di Facebook namun ia menjadi lebih baik apabila selepas mendapat maklumat, anda sendiri menziarahi keluarga terbabit dan memastikan kebenarannya.

Besar kemungkinan, anda juga boleh menularkan masalah terbabit di laman sosial dan memanjangkan maklumat bagi membolehkan orang lain pula membantu keluarga yang daif tadi.

Sekurang-kurangnya, laman Facebook atau Instagram anda bukanlah sekadar platform tin kosong yang tidak membantu.

Pengerusi Induk Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Sepang Azfar Faruqi Mohamad Idris, berkata pertubuhannya mencari golongan yang memerlukan sempena bulan mulia ini di laman sosial bagi tujuan amal.

“Kami memanfaatkan Facebook bagi mencari golongan daif,” katanya.

Beliau berkata pertubuhannya mempunyai peruntukan sempena Ramadan bagi tujuan sedekah dan memberi keutamaan kepada golongan yang belum pernah menerima bantuan sebelum ini.

“Kami menggerakkan ahli untuk masukkan di Facebook masing-masing bagi mencari golongan fakir miskin.

“Alhamdulillah, setakat ini kami menjumpai beberapa keluarga yang memerlukan bantuan,” katanya.

Pengerusi PeBT Zon 22 Shukri Mokhtar, juga senada dengan kaedah sama untuk membantu mencari golongan memerlukan bantuan pada bulan puasa dengan memanfaatkan sepenuhnya laman sosial.

“Sebelum Ramadan, kami menggunakan tiga platform utama iaitu Facebook, Twitter dan Instagram bagi mencari golongan yang memerlukan.

“Kadang-kadang golongan yang ditularkan juga mendapat perhatian kami kerana mereka mungkin tidak mendapat bantuan sewajarnya sebelum ini jadi dengan sedikit bantuan diharap dapat meringkan beban pada bulan puasa,” katanya.

Beliau berkata, bersedekah sikap terpuji kerana mengikis sikap kedekut dan mengutamakan kepentingan diri sehingga lupa ada bahagian tertentu yang bukan milik hakiki kita, tetapi perlu dikongsi dengan orang lain.

Bagi pekerja swasta, Salwani Abd Rahman, 25, kerja sukarelawan lebih giat dijalankan ketika bulan puasa dengan menjadikan laman sosial platform untuk mendapatkan maklumat mengenai individu yang memerlukan.

“Sukarelawan diibaratkan duta yang dapat memberikan inspirasi kepada orang lain terutama anak muda untuk sama-sama berkongsi kebaikan dan kami mencari masalah orang lain di Facebook.

“Kemudian, kami akan menghantar bantuan dengan pergi sendiri berdasarkan maklumat di laman sosial tidak kira sama ada yang dilakukan itu besar atau kecil, ia tetap membawa manfaat,” katanya.

Baginya, keseronokan apabila melakukan sesuatu perkara tanpa mengharapkan balasan jelas berbaloi.

“Semua tekanan kerja seakan-akan hilang. Selepas itu saya tekad untuk terus menyertai aktiviti sukarelawan yang dianjurkan dengan memperoleh maklumat dari Facebook,” katanya.

Bagi individu yang menggunakan laman sosial untuk mendapatkan maklumat mengenai golongan memerlukan, anda boleh membuat semakan terlebih dahulu dan lebih elok jika pergi sendiri mengunjungi golongan terbabit.

Sekali gus membolehkan kita sendiri meninjau tahap kedaifan atau kemiskinan golongan yang dinyatakan di Facebook.

Ia lebih baik daripada memberi derma kepada individu yang meragukan seperti individu membawa kanak-kanak atau orang tua dalam restoran memohon derma daripada orang yang sedang makan, menjadi satu fragmen kehidupan agak menyedihkan.

Ia sebenarnya mengeksploitasi atau mempergunakan kudrat kanak-kanak dan orang tua. Apakah benar mereka mengutip derma untuk pusat tahfiz? Itulah perkara yang tertanya-tanya dalam fikiran kita.

Jadi sekurang-kurangnya dengan maklumat di Facebook, kita boleh gali lebih lanjut mengenai kedaifan dengan menziarahi mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here