Hoki negara enggan putih mata

0
113
Advertisement



KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) menaruh harapan tinggi supaya pasukan lelaki dan wanita dapat mengakhiri cabaran masing-masing pada Sukan Asia Jakarta-Palembang bulan depan di podium.

Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pihaknya amat berharap pasukan lelaki mampu memenangi pingat emas kerana ia secara automatik akan membolehkan anak buah Stephen Van Huizen beraksi di Sukan Olimpik 2020.

“Seperti kita semua sedia maklum, hoki menjadi harapan negara membawa balik pingat, jadi kami berharap skuad lelaki memenangi pingat emas terutamanya kerana ia akan menjadi kelayakan secara automatik ke Olimpik selepas 20 tahun kita hilang begitu saja pada temasya berprestij itu.

“Pasukan wanita pula, temasya kali ini akan menjadi cabaran getir kerana semua pasukan terbaik di dunia antaranya dari Asia beraksi.

“Tetapi kami masih menaruh harapan kepada Dhaarma Raj Abdullah dan anak buah untuk membuat yang terbaik, sekurang-kurangnya memenangi pingat,” kata Subahan pada sidang media selepas bertemu ketua kontinjen, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi di Institut Sukan Negara (ISN), hari ini.

Sementara itu, Abdul Azim yang juga Pengerusi ISN optimis pasukan hoki lelaki dan wanita berada di landasan tepat untuk menamatkan cabaran masing-masing di podium berdasarkan prestasi semasa yang ditunjukkan selain komitmen tinggi pemain dan MHC.

Malah, beliau kagum dengan persembahan ditunjukkan Malaysian Tigress di Kejohanan Hoki Siri Terbuka di Singapura bulan lalu.

“Berdasarkan laporan daripada ketua jurulatih pasukan wanita (Dhaarma), terdapat peningkatan dalam persembahan di dalam pasukan. Mereka akan ke Australia pada 21 Julai ini untuk bermain dengan pemain hoki terkemuka dan pasukan wanita di Australia.

“Ini akan memberikan mereka persiapan yang baik untuk Sukan Asia, jadi kami harap mereka juga dapat menamatkan saingan di podium,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here