Hoki Piala Sultan Azlan Shah: Malaysia sekadar seri bertemu Jepun

0
92



IPOH: Malaysia gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila sekadar seri 1-1 menentang Jepun pada aksi pertama Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-26, malam tadi.

Skuad negara bertindak cemerlang menceriakan lebih 3,000 penyokong pada awal permainan yang berlangsung di Stadium Sultan Azlan Shah di sini, apabila menyumbat masuk gol pertama melalui pukulan sudut penalti disempurnakan Razie Rahim pada minit kelapan.

Namun, anak buah Stephen Van Huizen gagal mengekalkan rentak cemerlang itu apabila sering melakukan kesilapan mudah sehingga membenarkan pasukan lawan mengancam pintu gol skuad negara.

Jepun yang berada di ranking ke-16 dunia, memanfaatkan kealpaan pasukan negara untuk menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-40 menerusi Shota Yamada, hasil pukulan sudut penalti.

Pada minit-minit akhir permainan, Malaysia menggandakan asakan, bagaimanapun kedudukan 1-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Dalam pada itu, Stephen menjangkakan perlawanan menentang Australia, esok, akan lebih sukar memandangkan kesemua perlawanan hari ini berkesudahan dengan seri.

“Semua pasukan hanya mengutip satu mata dalam perlawanan hari ini. Kita akan melakukan sedaya upaya untuk mendapat tiga mata penuh apabila menentang Australia esok,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Jepun, Takahino Yamabori berkata beliau agak kecewa dengan keputusan perlawanan malam ini.

“Kita memperoleh banyak peluang menjaringkan gol namun gagal disempurnakan. Bagaimanapun, sebagai pasukan berada di ranking terbawah berbanding pasukan lain di sini, keputusan seri itu sudah memadai,” katanya.

Jadual Ahad:

—————

India mln New Zealand – 4.05 petang

Jepun mln Great Britain – 6.05 petang

Australia mln MALAYSIA – 8.35 malam

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here