Hubungan Singapura-Malaysia semakin berkembang – Presiden Singapura

0
38

SINGAPURA: Presiden Singapura Tony Tan Keng Yam berkata hubungan Singapura dan Malaysia semakin berkembang hasil daripada persahabatan yang terjalin erat antara rakyat kedua-dua negara serta komitmen mereka untuk bekerjasama demi manfaat bersama.

“Singapura dan Malaysia mempunyai hubungan yang amat rapat serta kerjasama mendalam yang meliputi semua sektor,” kata Tan dalam surat ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V bersempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia 2017 pada Rabu.

Salinan surat itu dihantar kepada Bernama di sini.

Tan berkata hubungan rapat antara kedua-dua negara akan dipertingkatkan lagi menerusi pelaksanaan projek dua hala seperti Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura dan Sistem Transit Aliran Deras Johor Bahru-Singapura.

Presiden itu berkata beliau benar-benar ingin melihat kedua-dua negara terus mengukuhkan kerjasama yang amat bernilai ini demi manfaat pada masa akan datang.

Tan berkata dalam tempoh enam dekad lepas, Malaysia mencapai kemajuan dan pembangunan pesat dalam pelbagai bidang.

“Saya yakin, di bawah pemerintahan dan visi bijaksana Tuanku, Malaysia akan terus menikmati keamanan, kemakmuran dan keharmonian.

“Bagi pihak rakyat Singapura, saya dengan dengan penuh takzim menyampaikan ucapan tahniah kami kepada Tuanku bersempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia yang amat besar ertinya.

“Saya dan isteri mengharapkan agar Tuanku terus sihat walafiat dan sejahtera,” kata Tan, yang akan melalui hari terakhirnya sebagai presiden esok (Khamis), setelah menyandang jawatan itu selama enam tahun.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here