Hup Wei belum puas hati

0
23
Advertisement



Pix: Yusni Ariffin

 

KUALA LUMPUR: Atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei sekali lagi menewaskan seteru utamanya, Nauraj Singh Randhawa pada Terbuka Kuala Lumpur hari ini namun dia masih belum berpuas hati menjelang Sukan Asia Jakarta-Palembang tidak lama lagi.

Dalam kejohanan Terbuka Kuala Lumpur di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) itu, Hup Wei dan Nauraj memberi saingan sesama sendiri dengan Hup Wei akhirnya muncul juara dengan lompatan 2.26 meter sementara Nauraj 2.23m untuk pingat perak. 

Gangsa dimenangi atlet pelapis, Norshafiee Mohd Shah dengan catatan 2.10m.

Selepas kelihatan mudah melakukan lompatan sehinggalah ketinggian 2.26m, Hup Wei seperti kehilangan sentuhan apabila tidak berjaya melepasi ketiga-tiga percubaan untuk ketinggian 2.29m. 

Catatan 2.26m yang dilakukan Hup Wei itu bagaimanapun membaiki rekod kejohanan dilakukan Loo Kum Zee pada tahun 2001 dengan 2.20m.

“Saya kena betulkan lagi teknik lompatan saya kerana selepas 2.26m, makin terserlah kesalahan teknik yang saya lakukan. Saya akan gunakan masa yang ada (bersama jurulatih, Alex Stewart) untuk perbaiki kesilapan saya ketika seminggu dia berada di sini,” katanya di sini hari ini.

Atlet berumur 31 tahun itu berkata, antara kesilapan itu ialah tiga langkah terakhir sebelum melakukan lompatan dan juga ketahanan.

Jika catatan pada Sukan Asia di Incheon diambil kira, Hup Wei berpeluang merangkul sekurang-kurangnya pingat gangsa kerana atlet Qatar, Muamer Aissa Barshim memenanginya dengan catatan 2.25m empat tahun lalu.

“Saya tak berani cakap mengenai pingat lagi kerana bagi saya apa yang lebih penting adalah perbaiki catatan peribadi saya dulu (2.28m) dan selepas itu barulah boleh tahu. Setahu saya sekarang ada atlet Asia yang melakukan 2.33m, dua orang melakukan 2.32m dan seorang 2.29m,” katanya yang akan menyertai Sukan Asia buat kali ketiga.

Tahun ini saja, Hup Wei sudah menewaskan Nauraj pada Kejohanan Olahraga AACT di Canberra, Australia Januari lalu dan juga pingat emas kedua di Kejohanan Olahraga Terbuka New South Wales di Sydney, Februari lalu.

Bagi Nauraj, kejohanan hari ini adalah medan untuk membiasakan diri dengan suasana sebenar di Sukan Asia yang dijangka panas.

“Kejohanan ini matlamatnya adalah seperti simulasi kepada Sukan Asia nanti dan lebih kepada latihan. Saya dapat mencuba teknik dalam suasana kejohanan. Saya juga melakukan banyak lompatan hari ini dan di penghujungnya saya sudah dapat merasakan kepenatan,” katanya.

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here