Hutang belum habis bayar, barang rosak

0
62
Advertisement



KUALA LUMPUR: Permukaan getah yang digunakan untuk gelanggang hoki dalam dewan di Dewan Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) sempena Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu kini rosak dan disimpan di stor dekat Balakong, Selangor selepas ditanggalkan secara tidak profesional.

Menurut kontraktor yang mengendalikannya, Kuckreja & Co, ia sudah tidak boleh digunakan lagi malah mendakwa penganjur KL2017 masih berhutang lebih RM40,000, hampir setahun selepas skuad lelaki meraih pingat emas dan skuad wanita di tempat ketiga.

“Pada awalnya kami diarahkan segera menyiapkan tugasan kerana ada VIP mahu melawat MITEC. Selepas lawatan, gelanggang tidak menepati spesifikasi kerana ia tidak sekata.

“Kami melakukan kerja yang sama sekali lagi dan siap beberapa hari sebelum Sukan SEA bermula. Ia berada dalam keadaan baik dan tiada rungutan.

“Bagaimanapun, selepas temasya berakhir apabila kami meminta baki bayaran sebelum menanggalkannya secara profesional, namun mereka bertindak sebaliknya dengan mengupah pekerja asing yang tidak profesional dan bertindak menyimpannya di stor.

“Ini adalah permukaan yang mudah rosak dan memerlukan pekerja mahir melakukannya bagi membolehkan ia digunakan lagi, namun malangnya akibat tindakan berkenaan, ia sudah tidak boleh digunakan,” jelas jurucakap Kuckreja & Co, Allan Netto.

Kos keseluruhan untuk mewujudkan gelanggang hoki dalam dewan adalah RM250,000 selain kos tambahan selepas kerja tergesa-gesa dilakukan susulan lawatan VIP itu.

Sehingga hari ini, Kuckreja & Co masih belum menerima baki RM40,000.

“Selepas Sukan SEA, gelanggang berkenaan digunakan untuk paralimpik disusuli kejohanan catur di mana kerusi dan meja di susun di atas permukaan getah itu.

“Ia secara tidak langsung merosakkannya selain tindakan tidak profesional menanggalkannya. Ia kini menjadi pembaziran,” kata Allan.

Selepas upacara penyampaian hadiah Sukan SEA, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail pernah ditanya mengenai perancangan terhadap gelanggang dalam dewan berkenaan, namun beliau tidak dapat memberikan jawapan.

Shapawi pernah berkata: “Ia perlu dialihkan ke lokasi lain kerana MITEC adalah sementara. Namun saya tidak dapat memutuskan lokasi yang sesuai ketika ini.

“Semua dewan MSN sudah digunakan sukan lain. Kami perlu menyelesaikannya dengan segera.”

Sementara itu, Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk S Shamala ketika dihubungi berkata, beliau memerlukan masa menyiasat perkara berkenaan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here