Hutang RM1 trilion: Moody's pun kata MoF salah – Najib

0
412
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata firma penarafan antarabangsa Moody’s mengesahkan bahawa hutang negara pada nilai RM1 trilion adalah tidak benar.

Dalam catatan di Facebooknya, Najib berkata Moody’s turut menetapkan hutang Malaysia hanya pada 50.8 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 80.3 peratus seperti diuar-uarkan Kementerian Kewangan.

“Anda boleh mengelirukan rakyat tetapi anda tidak boleh kelirukan pakar,” katanya sambil menambah kerajaan BN sebelum ini telus dalam laporan kewangan mengikut standard antarabangsa.

“Jika kita mahu ambil nisbah yang diuar-uarkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 80.3 peratus sekalipun, ia masih rendah berbanding hutang 103.4 peratus yang dimiliki pada pertengahan 1980 an.

“Nisbah itu kekal atas 70 peratus sepanjang Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri ketika itu,” kata Najib.
Tambahnya Malaysia ketika itu tidak muflis walaupun mempunyai hutang tinggi dan tidak logik untuk hutang pada paras 50.8 peratus akan menyebabkan negara muflis.

“Ditambah hutang kita adalah 97 peratus dalam denominasi ringgit,” katanya lagi.

Moody’s Investors Service dalam kenyataan berkata ia mengekalkan anggaran hutang negara pada 50.8 peratus berbanding KDNK bagi 2017.

Penilaian terhadap risiko tanggungan luar jangka yang disebabkan oleh institusi awam bukan kewangan juga tidak berubah meskipun kerajaan pusat mempunyai kenyataan berbeza.

“Bagaimanapun projek infrastruktur yang akan disemak oleh pentadbiran, yang sudah menerima status pinjaman jaminan kerajaan sbelum ini, selain tunggakan hutang 1MDB, akan memainkan peranan penting dalam menentukan risiko tanggungan luar jangka buat Malaysia,” kata Moody’s.

Moody’s pada masa sama berkata tindakan kerajaan membatalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah negatif buat kedudukan kredit negara kerana ia akan meningkatkan kebergantungan kerajaan terhadap hasil minyak dan mengecilkan asas percukaian negara.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini  memaklumkan Hutang Negara mencecah kini RM1.08 trilion atau 80.3 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia setakat 31 Disember 2017.

Dari jumlah itu, RM686.8 bilion merupakan hutang Kerajaan Persekutuan bersamaan 50.8 peratus dari KDNK.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here