'Ibrahim, dah berapa ramai rakyat jadi komunis?'

0
51



Meskipun Umno menjalinkan hubungan dengan Parti Komunis China (CPC), tidak ada rakyat di negara ini yang terpengaruh dengan komunis, kata Datuk Seri Nazri Aziz.

Anggota Majlis Tertinggi Umno itu berkata, selaku pemerintah, Umno telah bekerjasama dengan CPC yang mewakili kerajaan China sejak 40 tahun lalu.

“Kita berhubung dengan parti yang mewakili negara, takkan kita nak berhubung dengan parti yang lawan dengan parti komunis.

“Bila dia datang Malaysia kita pun tak suka dia berurusan dengan pembangkang, kita mahu dia berurusan dengan pemerintah,” katanya kepada Malaysiakini sebelum Majlis Dialog TN50 di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Kuala Lumpur hari ini.

Semalam Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali melahirkan kebimbangan dengan kerjasama antara Umno dan MCA dengan CPC kerana mungkin akan membawa kesan yang tidak baik kepada negara.

PERKASA juga mahu menghantar surat kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bagi mengetahui sama ada parti politik dibenarkan bekerjasama dengan CPC.

Ibrahim berkata, kerjasama seumpama itu sekiranya ada mungkin mendorong kehadiran kumpulan pengganas seperti Al-Qaeda dan Islamic State (IS).

Mengulas lanjut, Nazri mempersoalkan kenyataan Ibrahim dan bertanya sudah berapa ramai rakyat di negara ini menjadi komunis.

“Saya nak tanya Ibrahim Ali dah ramai ke orang Malaysia jadi komunis. Tak ada apa-apa pun. Kalau dari 1976 sampai sekarang dekat 40 tahun dah (Umno kerjasama dengan CPC).

“Saya tak fikir rakyat Malaysia terpengaruh dengan fahaman komunis, orang Malaysia semua ada agama,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here