Ibu ayah beri restu

0
97



Hubungan mesra yang terjalin di antara penyanyi Sufian Suhaimi, 25, dan pelakon Elfira Loy, 23, terus menjadi tanda tanya apabila masing-masing bermain teka-teki.

Bagaimanapun selepas hampir tiga bulan berkenalan, dua artis popular itu dilihat semakin selesa dengan keakraban yang terjalin.

Ia bermula dengan kejutan sempena ulang tahun Sufian pada 8 Mei lalu apabila menaiki helikopter bersama selama 20 minit di atas awan.

Kini mereka dilihat tidak kekok apabila tampil berdua di khalayak ramai. Perkara itu terbukti apabila Sufian dan Elfira dikerumuni media pada rakaman program khas Melodi Raya di Villa Sri Ananda, Bukit Ledang, Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Sufian mahupun Elfira dengan ramah menjelaskan kedudukan hubungan mereka. Mereka mengakui kedua-dua keluarga merestui persahabatan yang terjalin antara mereka.

Perkara itu jelas berbeza andai dibandingkan situasinya di antara Sufian dan bekas kekasihnya dan Elfira yang turut pernah dikaitkan dengan beberapa lelaki termasuk aktor Indonesia, Baim Wong sebelum ini.

Kedua-dua artis muda itu berat hendak berbicara mengenai cinta, mahupun orang yang cuba dikaitkan dengan diri mereka.

Sufian yang popular dengan lagu Terakhir berkata, dia bukan mahu merahsiakan kekasihnya sebelum ini, sebaliknya perkara itu tidak diberi perhatian kerana dia bukan artis.

Katanya, ia berbeza apabila dia rapat dengan Elfira kerana mereka berdua artis dan disebabkan itu peminat memberikan perhatian lebih.

“Bukan hanya peminat, media juga turut memperkatakan mengenai hubungan kami. Saya pula memang jenis tidak pernah hendak menunjuk atau menguar-uarkan mengenai cerita peribadi.

“Cuma kali ini hubungan kami mendapat perhatian dan saya pula tidak mahu berselindung. Andai ada yang bertanya, saya akan menjelaskan kedudukan sebenar,” katanya.

Kini tampil dengan lagu terbaru, Kasih Lebaran, Sufian turut dikecam dan dituduh meninggalkan bekas kekasihnya kerana mahu mengejar Elfira.

Katanya, perkara itu tidak benar dan semua itu timbul akibat salah faham. Sufian juga menafikan putus dengan kekasih kerana Elfira.

Elfira pertahankan Sufian

Gara-gara timbul cerita mengatakan Sufian Suhaimi meninggalkan kekasih kerana mahu mengejar Elfira Loy, penyanyi yang tampil dengan single kedua, Harus Aku dikecam peminat.

Dalam pertemuan ini, Elfira turut mempertahankan Sufian. Katanya, dakwaan yang dimuat naik pengikut di laman instagram mengenai isu terbabit berlaku kerana mahu menunjukkan mereka tahu apa yang berlaku.

Hakikatnya, kata Elfira, apa yang berlaku adalah sebaliknya, malah perkara itu sudah mereka jelaskan menerusi laman sosial masing-masing.

“Bagaimanapun, mereka tetap memperkatakan mengenainya. Bagi saya mereka memperkatakan mengenainya bukan kerana membenci atau mahu memburukkan Sufian mahupun saya tetapi lebih kepada mahu bercerita yang kononnya mereka juga tahu,” katanya.

Mengenai dirinya tidak bersikap terbuka membabitkan lelaki yang dikaitkan dengan dirinya sebelum ini berbanding dengan Sufian, Elfira akui takut berbuat demikian kerana terlalu awal untuknya memperkatakan mengenai hubungan mereka.

“Bukan saja takut tetapi saya kurang yakin. Situasi persahabatan saya dengan Sufian pula berbeza kerana keluarga kami memberi restu. Malah adik-beradik saya sendiri baik dengan Sufian.

“Sufian sendiri datang dengan cara baik untuk bertemu dengan ibu dan ayah. Melihat situasi itu, ibu sendiri berasa positif dengan sikapnya dan membenarkan kami berkawan.

“Pada saya, kalau ibu dan ayah memberi restu membuatkan saya ada keyakinan dengan hubungan kami,” katanya.

Elfira secara jujur akui lebih senang dengan situasi sekarang mengatakan hubungan mereka atas nama persahabatan dan bukan membabitkan soal cinta.

Katanya, dia tidak mahu menyatakan mereka sedang bercinta kerana ia akan meletakkan tekanan terhadap mereka berdua.

“Saya senang andai kami membiarkan hubungan ini sendiri menentukan apa yang akan berlaku selepas ini. Bayangkan kalau hari ini kami kata kami sedang bercinta, pastinya selepas ini antara kami akan cuba mendesak apakah keputusan yang mahu diambil selepas itu.

“Sebab itu saya sendiri berasakan biarlah kami terus berkawan saja kerana apabila kami berada dalam situasi begini, apa yang berlaku kita akan lebih ikhlas.

“Kalau kami akui kami sedang bercinta, bimbang kalau apa yang diharapkan tidak menjadi kelak, apa yang berlaku akan membuatkan hubungan kami berada dalam situasi yang buruk.

“Macam sekarang, kalau ia tidak menjadi seperti apa yang diharapkan kami masih lagi berkawan baik sampai bila-bila,” katanya.

Elfira akui mula rapat dengan Sufian apabila penyanyi itu hadir pada majlis hari kelahirannya yang ke-23 pada Mac lalu dan menghadiahkan 23 kuntum bunga ros pada hari bersejarahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here