Ibu bunuh tiga anak dipenjara 26 tahun

0
64


AKON Guode. – Foto EPA

SYDNEY: Seorang ibu yang mengaku bersalah membunuh tiga anaknya dan cuba membunuh anak keempat dijatuhi hukuman penjara 26 tahun oleh mahkamah Australia, hari ini.

Akon Guode, 37, yang tinggal di Australia selepas melarikan diri dari perang saudara di Selatan Sudan, memandu keretanya ke dalam sebuah tasik di pinggir Melbourne pada 2015, mengorbankan anak lelakinya yang berusia setahun dikenali sebagai Bol serta sepasang kembar berusia empat tahun, Hanger dan Madit.

Penyelamat bagaimanapun berjaya menyelamatkan seorang lagi anaknya yang berusia lima tahun, Alual dari turut mati lemas.

Hakim Lex Lasry ketika menjatuhkan hukuman berkata, suspek dikatakan mengalami sindrom tekanan tetapi punca pembunuhan itu masih menjadi misteri.

“Hukuman yang akan saya jatuhkan ini sebenarnya tidak memadai dengan kesalahan yang kamu lakukan, namun ia telah mengambil kira keadaan mental dan latar belakang kamu yang penuh kesukaran dan tekanan. Ia tetap kesalahan yang amat kejam.

“Anak-anak ini mempercayai kamu, sebagai ibu yang seharusnya melindungi mereka. Kamu mengkhianati kepercayaan itu dan akibatnya adalah sangat dahsyat, walau apa pun alasan yang diberikan,” kata Lasry.

Menurut peguam bela, Guode mengalami masalah psikologi yang serius, kesan dari trauma yang dialami ketika perang saudara di Selatan Sudan.

Keterangan beberapa saksi pula menyebut, suspek sebelum itu mengadu menerima ugutan dari isteri teman lelakinya yang juga bapa kepada semua kanak-kanak itu, lalu bertindak mengasingkan diri dari komuniti Sudan di tempatnya.

Guode yang meraung ketika hukuman dijatuhkan perlu menjalani hukuman penjara maksimum 20 tahun sebelum layak diberi parol. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here