'Ibu dah ajar sejak kecil'

0
68



Jitra: “Sejak kecil mak bawa saya dan adik-beradik lain mendekati kanak-kanak terbiar, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas agar dapat menyelami kesusahan dialami mereka dan sentiasa mensyukuri apa yang ada,” kata penuntut Ijazah Pengurusan Kerja Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM), Aliya Salwani Mohd Puzi, 22.

Katanya, berkat didikan ibu, Robiah Mat Isa, 49, yang juga pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak kecil mendorong dia aktif sebagai sukarelawan.

“Biasanya kami adik-beradik akan ikut sekali ibu apabila ada Op Kebajikan yang dijalankan JKM.

“Sikit demi sedikit saya dapat merasai kesusahan yang dialami golongan itu seperti warga emas dibiarkan keluarga atau anak kerana perkara berkenaan sangat menyentuh hati saya,” katanya ketika ditemui pada Program Kesukarelawanan Mahasiswa UUM ke Institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ‘Volunteer To Institution’ (V2i) di Taman Sinar Harapan Ridzuan Puzi Jitra, di sini, semalam.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, apabila kerja kebajikan sebati dalam dirinya, dia cuba menerapkannya menerusi kerja sukarela bermula di sekolah rendah.

“Saya semakin aktif di universiti dan aktiviti ini memberi pengalaman berguna terutama bagi memahirkan diri berkomunikasi atau membantu golongan memerlukan,” katanya yang berasal dari Sungai Petani.

Rakannya, Mohd Zubir Izudin Mohamad, 23, dari Kuala Terengganu turut mempunyai minat sama dalam kegiatan sukarelawan.

“Aktiviti seperti ini sebenarnya mendekatkan kita dengan masyarakat yang kurang bernasib baik di samping mengetahui permasalahan mereka yang boleh dijadikan iktibar,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UUM Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak yang merasmikan program itu menyifatkan penuntut universiti adalah ejen perubahan yang dapat membantu masyarakat dalam menyampaikan maklumat tepat menerusi kegiatan kesukarelawanan.

“Mereka adalah ejen perubahan dalam masyarakat menerusi aktiviti sukarelawan yang dijalankan dan apabila pulang ke komuniti mereka, segala ilmu boleh dikembangkan kepada orang lain.

“Mereka akan menyampaikan maklumat dalam menegur atau memberi penerangan mengenai apa yang betul atau yang salah dalam masyarakat, sekali gus memberi kesedaran kepada masyarakat untuk berubah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here