Ibu Farah Marcella dapat motosikal dari Umno

0
72



Biro Kebajikan UMNO hari ini tampil menyampaikan bantuan sebuah motosikal kepada keluarga pelajar daif yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016, Farah Marcella Bandie sebagai kemudahan kepada keluarga tersebut.

Motosikal jenis SYM berwarna putih itu diserahkan oleh Ketua Pemuda UMNO Pasir Gudang Azman Ja’afar kepada ibu Farah Marcella, Hasliza Hassan, 40, dengan disaksikan Setiausaha Operasi Biro Kebajikan UMNO Shoubli Jamal.

Hasliza yang bekerja sebagai pembantu kedai ketika ditemui pemberita berkata dia berterima kasih atas sumbangan itu dan kenderaan terbabit akan digunakan untuk memudahkan urusan seharian terutamanya menghantar dua anaknya ke sekolah.

“Kebiasaannya saya hanya berjalan kaki untuk ke kedai atau menghantar anak ke sekolah sejauh satu kilometer. Dengan adanya motosikal ini, saya dapat meringankan beban kerana mampu menghantar anak ke sekolah atau membeli barangan keperluan,” katanya yang berpendapatan RM1,400 sebulan kepada pemberita selepas menerima motosikal berkenaan hari ini.

Sementara itu, Shoubli berkata selain sumbangan motosikal, Biro Kebajikan UMNO yang dipengerusikan Anggota Parlimen Lenggong Datuk Shamsul Anuar Nasarah akan memastikan keluarga terbabit menerima bantuan lain.

Shoubli berkata biro terbabit juga turut akan memastikan Farah Marcella menerima bantuan bagi meneruskan pelajarannya.

“Datuk (Shamsul Anuar) memberitahu untuk Farah Marcella, kita (Biro Kebajikan UMNO) akan pastikan dia (Farah Marcella) dapat bantuan. Kita akan membuat susulan yang berkaitan dengan gurunya,” katanya.

Azman pula berkata buat masa ini pihaknya sedang memastikan keluarga tersebut dapat berpindah ke kediaman yang selesa dengan deposit sewaan rumah tersebut akan ditanggung Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Beliau berkata urusan pencarian rumah diserahkan kepada Hasliza sendiri sebelum dijangkakan keluarga terbabit dapat berpindah ke rumah baharu, minggu depan.

Farah Marcella, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri, di sini, memperoleh 6A, 1B+ dan 1C sekalipun hanya belajar secara serius dua bulan setengah dengan bantuan gurunya, Suraya Abdul Rahim sebelum menduduki SPM tahun lepas disebabkan kehidupannya yang daif.

Kisah Farah Marcella sebelum ini menjadi perhatian ramai kerana terpaksa menumpang di sebuah pusat snuker di Taman Kota Puteri, Masai di sini bersama ibu dan adik-beradiknya selepas ditinggalkan bapa.

Berdasarkan kisah yang tular di media sosial, pelajar itu pernah diberhentikan sekolah ketika tingkatan empat kerana tidak hadir ke sekolah untuk jangka masa yang lama, namun mengambil inisiatif mendaftar kembali ketika tingkatan lima.

Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here