Ibu Taison diculik

0
371
Advertisement



RIO DE JANEIRO: Ibu kepada pemain bola sepak Brazil yang beraksi di Piala Dunia Russia, Taison diculik, Isnin lalu oleh penjenayah bersenjata.

Begitupun, mangsa dilepaskan beberapa jam kemudian apabila pihak polis mengesan tempat persembunyian penculik berkenaan.

Menerusi rakaman kamera keselamatan, Rosangela Freda ‘dipancing’ untuk pergi ke pintu pagar kediamannya di Pelotas, selatan Brazil oleh lelaki yang membawa bunga sebelum mereka mengheretnya ke kereta.

“Dia berada dalam keadaan yang baik. Selain daripada ketakutan, tiada sebarang kecederaan,” kata detektif, Rafael Lopes sambil menambah kumpulan penjenayah berkenaan tidak mempunyai cukup masa untuk menuntut wang tebusan.

Polis menemui tempat persembunyian penjenayah berkenaan selepas mereka dapat mengesan kenderaan yang digunakan iaitu Fiat Senna daripada siaran radio pihak berkuasa.

“Kami menutup kawasan sekitar tempat di mana kereta itu ditemui,” katanya.

“Dalam kurang sejam kami menemui tempat di mana dia ditahan dan melepaskan mangsa.”

Apabila polis menyerbu kediaman berkenaan, seorang penjenayah melepaskan diri namun identitinya sudah dikenal pasti dan mempunyai rekod bunuh serta jenayah membabitkan dadah.

Empat lagi penjenayah berjaya ditangkap dengan dua daripada mereka turut mempunyai rekod jenayah dengan pihak polis turut menemui sepucuk pistol, senapang patah dan beberapa jenis dadah di rumah itu.

Freda ditemui dengan kedua-dua tangannya diikat di belakang di kawasan tempat letak kenderaan kediaman berkenaan.

Lopes berkata, kes penculikan bukan jenayah yang sering berlaku di negeri itu. 

“Saya sudah menyertai polis sejak lapan tahun lalu dan ia tidak pernah berlaku.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here