Ibu tidak sempat jumpa anak kandung yang ditumpangkan pada rahim kawan baik

0
106
Advertisement

SEORANG ibu yang menumpangkan anaknya untuk dikandung oleh rakannya tidak sempat menatap wajah bayi yang baru dilahirkan sebelum menutup mata kerana meninggal dunia akibat penyakit yang ditanggungnya.

Bec Arena meninggal dunia pada September, beberapa bulan sebelum rakan baiknya Jessica Brockie, yang merupakan ibu tumpang kepada anaknya, melahirkan bayi lelaki yang sihat di Johannesburg, Gauteng.

Bayi lelaki yang diberi nama Rixon James Arena itu lahir pada 20 Januari lalu, hanya disambut bapanya, Gareth Arena, tanpa isterinya di sisi.

Bec terpaksa mendapatkan bantuan rakannya bagi mendapatkan zuriat kerana menghidap penyakit ‘sistik fibrosis’.

Mendiang sebelum ini pernah memuat naik status yang melahirkan penghargaan kepada Jessica kerana kesudiannya mengandungkan anaknya walaupun sudah mempunyai dua orang anak.

Katanya melalui akaun Facebook miliknya pada Julai lalu: “Saya bersyukur kerana Jessica dan keluarga sanggup membantu kami untuk menimang cahaya mata.

“Semua orang tahu penyakit CF ini membuatkan kami sukar mendapatkan zuriat, jadi seakan tidak percaya kami akan memiliki anak sendiri dalam masa kurang enam bulan lagi.

“Tetapi, yang pentingnya ialah menyedari bahawa kami tidak akan mendapat nikmat itu tanpa adanya individu yang begitu baik dan tidak mementingkan diri ini dalam kehidupan kami.

“Kami sangat bertuah dengan adanya Jes dan keluarganya yang banyak membantu selama ini. Siapa sangka selepas bersama di sekolah rendah, di sini kesudahannya kisah kami.

“Saya telah berkawan dengan Jes lebih 20 tahun dan dia sekarang ialah ibu tumpang yang mengandungkan bayi kami.”

Dalam pada itu, Jessica turut melahirkan rasa duka cita kerana rakannya telah pergi terlebih dahulu sebelum sempat merealisasikan hasratnya menimang cahaya mata.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here