ICC buka siasatan awal jenayah 'perang dadah' Duterte

0
126
Advertisement

MAHKAMAH Jenayah Antarabangsa (ICC) telah membuka satu siasatan awal terhadap dakwaan jenayah berhubung ‘perang dadah’ yang dilancarkan Presiden Filipina Rodrigo Duterte.

Pendakwa raya ICC Fatou Bensou memaklumkan pada Khamis, siasatan itu bagi meniliti sama ada jenayah terhadap kemanusiaan telah dilakukan dan sama ada mahkamah yang berpangkalan di Hague itu mempunyai bidang kuasa untuk membawa suspek ke ruang perbicaraan.

Bagaimanapun menurut jurucakap Duterte, Harry Roque, usaha tersebut hanya membazirkan masa dan sumber, dan dilakukan oleh pihak musuh yang ingin memalukan pemimpin Filipina itu.

Tambahnya, Duterte juga mengalukan siasatan itu kerana melihatnya sebagai peluang untuknya membidas dakwaan yang dikenakan terhadapnya.

“Presiden berkata dia mengalukan siasatan awal ini, kerana dia sudah penat dan muak dituduh melakukan jenayah kemanusiaan,” katanya.

Kempen yang diilhamkan sendiri Duterte beberapa bulan selepas mengambil alih kuasa itu dikatakan bertujuan untuk membebaskan negara itu dari belenggu dadah.

Sepanjang operasi yang bermula sejak Jun 2016, hampir 4,000 orang maut di tangan pihak berkuasa.

Ia lantas mendapat kritikan aktivis kumpulan hak asasi manusia yang mendakwa polis melakukan pembunuhan di luar batas undang-undang.

Aktivis pada masa sama mendakwa dalam kebanyakan kes, suspek tidak diberi peluang untuk menyerah diri sebaliknya terus ditembak mati.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here