Ifa doa perkahwinan berkekalan

0
79


IFA raziah menyambut ulang tahun ke 13 perkahwinan hari inj dengan Suami, Mohd Yani. – Foto ihsan instagram Ifa Raziah

KUALA LUMPUR: Sempena ulang tahun ke-13 perkahwinan, penyanyi, Ifa Raziah, mendoakan ikatan suci yang terjalin antara dirinya dengan suami, Mohd Yani Abd Rahman, akan berkekalan sehingga ke syurga.

Artis Versatil Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-29 itu meluahkan harapan dan perasaan cinta kepada suami, yang juga pengurusnya, menerusi Instagram miliknya.

Selain kata-kata indah, Ifa yang terkenal dengan lagu Ser Ser Ser turut memuatkan kompilasi video insan yang sentiasa berada di belakangnya itu.

“Buat suamiku, Mohd Yani, tak sedar masa berlalu dengan pantas sekali. Terasa seperti baharu saja kita diijabkabulkan. Semoga percintaan dan kasih sayang ini akan sampai ke jannah.

“Semoga kita berdua dipanjangkan umur dan diberikan kesihatan yang baik. Semoga mahligai yang kita bina ini juga sentiasa dilindungi dan dipelihara Allah.

“Banyak dugaan dan cabaran serta halangan sepanjang tempoh 13 tahun itu yang kita tempuhi bersama. Hanya Allah yang tahu segala kesusahan dan kesenangan kita lalui.

“Alhamdulillah juga kita diberi sepasang cahaya mata untuk menyinari hidup ini. Saya cintakan kamu sepenuh jiwa. Doakan kami berdua bahagia ya!” tulis Ifa.

Yani sebenarnya sudah mula menguruskan kerjaya Ifa sebelum mereka berkahwin lagi, iaitu sekitar tahun 2000.

Sementara itu, ditanya mengenai peluangnya mengulangi pencapaian pada ABPBH 29, yang akan mencapai kemuncaknya pada 14 Mei depan, Ifa mengakui persaingan kali ini begitu sengit.

“Persaingan memang sangat hebat. Begitupun, jika ada rezeki, insya-Allah saya mahu melekat dalam senarai Top 5 lagi. Semuanya itu hanya akan terjawab tidak lama lagi.

“Kelab peminat saya, Ifa Raziah Divas, sudah melakukan yang terbaik. Sokongan dan undian mereka masih berterusan hingga kini. Jadi, dapat atau tidak saya mempertahankan trofi terbabit, semuanya terserah kepada rezeki,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here