IKHLAS desak Menteri Wilayah Persekutuan ambil tindakan isu Ampang Park

0
95



KUALA LUMPUR: Pemilik premis di kompleks beli belah Ampang Park berang apabila memorandum berhubung rintihan mereka yang dihantar kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dua bulan lalu, tidak dijawab sehingga kini.

Presiden Pertubuhan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, pemilik-pemilik asal di situ kesal dengan sikap tidak ambil endah berhubung isu terbabit.

Menurut Ridzuan, pihaknya bukan mahu membantah projek MRT tetapi ia seharusnya tidak membabitkan perobohan Ampang Park.

“Kenapa Menteri Wilayah jadi bisu?

“Kita hantar memo tak jawab, seolah-olah tak hormat 40,000 pengundi di sini.

“Adakah pengundi di sini tak penting?

“Bagi PM, satu undi pun penting, jangan susahkan Perdana Menteri,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mohd Ridzuan ditemui Astro AWANI selepas mengadakan protes di hadapan kompleks beli-belah Ampang Park, yang turut disertai kira-kira 100 orang.

Menurut Ridzuan, Pejabat Tanah dan Galian Persekutuan ada memberikan surat memangggil beberapa pemilik premis untuk berjumpa bagi menentukan jumlah pampasan yang wajar mereka terima jika perobohan Ampang Park berlaku.

Bagaimanapun, beliau mendakwa apa yang dilakukan oleh pihak terbabit sebagai ‘wayang’.

Sebelum ini Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menyangkal dakwaan pihak tertentu bahawa syarikat itu tidak bertemu dengan pemilik kedai bagi menyelesaikan isu berkaitan Ampang Park.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Berkepentingan MRT Corp, Datuk Najmuddin Abdullah berkata pada awal Mei lalu, memandangkan isu ini sedang melalui prosiding undang-undang sebarang perbincangan antara MRT Corp dan pemilik lot dihentikan.

Pusat beli-belah itu kini dalam proses diambil alih oleh kerajaan di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi tujuan membina Stesen Ampang Park bagi laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) dan laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here