Iklan berunsur perkauman: Syarikat jenama H&M mohon maaf

0
95
Advertisement

STOCKHOLM: Kumpulan syarikat jenama fesyen H&M mengeluarkan permohonan maaf pada Selasa berikutan iklan kempennya yang memaparkan seorang kanak-kanak kulit hitam yang memakai baju yang tertera slogan “coolest monkey in the jungle”.

Reuters melaporkan, kempen koleksi pakaian terbaru itu menerima kecaman banyak pihak yang mengaitkannya dengan diskriminasi kaum.

Pihak H&M berkata, iklan itu sudah ditarik semula dari semua platfrom pemasarannya.

Bintang pop Kanada, The Weeknd, yang pernah bekerjasama dengan H&M, turut mengkritik cara syarikat itu menjalankan promosinya.

Dia yang pernah berkolaborasi dengan H&M dalam dua koleksi pada tahun 2017, berkata tidak lagi mahu bekerjasama dengan jenama itu pada masa akan datang.

“Sedar dari tidur pagi ini, terkejut dan malu dengan gambar itu. Saya sangat terhina dan tidak akan bekerjasama dengan H&M lagi,” ujar The Weeknd, yang nama sebenarnya Abel Tesfaye, menerusi akaun Twitternya pada Isnin.

Perkataan “monkey” (monyet) telah lama digunakan oleh sesetengah pihak dalam ungkapan yang bersifat perkauman.

H&M dalam satu kenyataan berkata, mereka memahami dan bersetuju dengan reaksi The Weeknd tentang imej kanak-kanak lelaki kulit hitam itu.

“Kami mohon maaf gambar itu diambil, dan kami juga kesal atas cetakan tersebut,” kata pihak H&M yang berjanji akan menilai semula amalan syarikat untuk mengelakkan kejadian sama berulang.

Selebriti lain yang turut mengecam iklan tersebut di media sosial termasuk penyanyi rap Diddy dan bintang bola keranjang LeBron James.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here