Iklan Habib inspirasi kisah benar

0
95


PENGARAH Urusan kumpulan HABIB, Datuk Seri Meer Habib sempena sambutan 30 tahun Habib di Kuala Lumpur di Habib Semua House, Kuala Lumpur . – Foto Zulfadhli Zulkilfi

KUALA LUMPUR: Iklan komersial jenama barangan kemas terkenal, Habib, yang menitikberatkan hubungan erat antara anggota keluarga apabila tibanya musim perayaan, terutama sambutan Aidilfitri, diangkat daripada sebuah kisah benar.

Pengarah Urusannya, Datuk Seri Meer Habib, berkata jalan cerita yang dipaparkan dalam iklan bertajuk Budayakan Rantaian Kasih itu adalah berdasarkan kepada pengalamannya sendiri.

“Saya juga ada menyumbangkan idea dalam pembikinan iklan ini dan satu daripada cerita yang dipaparkan adalah diinspirasikan daripada pengalaman saya sendiri.

“Dalam iklan ini, ada digambarkan si ibu berasa hati kerana anaknya seolah-olah tidak mengambil berat mengenai dirinya. Sedangkan, anaknya itu bekerja keras, melakukan dua kerja, semata-mata kerana mahu membuatnya gembira dengan menghadiahkan dirinya gelang,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Kempen Budayakan Rantaian kasih yang diadakan di ibu kota.

Mengulas tema yang diketengahkan, Meer berkata, semangat kekeluargaan yang semakin terhakis disebabkan terlalu leka dengan media sosial memberikannya idea untuk tampil dengan mesej terbabit.

“Harapan saya, masyarakat akan sedar peri penting hubungan kekeluargaan, terutama anak-anak muda yang ketika ini bagai leka dengan penggunaan gajet. Mereka kena sentiasa mengeratkan perhubungan antara keluarga dan kawan-kawan, bukan setakat di luaran saja,” katanya.

Iklan yang bakal disiarkan di televisyen dan segala platform digital milik jenama berkenaan itu turut menampilkan lakonan pemenang trofi Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0, Sweet Qismina, selain calon Top 5, Pelakon TV Lelaki Popular ABPBH 3.0, Aiman Hakim Ridza.

Turut membintangi iklan berkenaan ialah Anne Abdullah dan Datin Seri Maria Farida.

Bersempena dengan pelancaran kempen berkenaan, dua koleksi barangan kemas diperkenalkan kepada tetamu, iaitu koleksi Arabesque yang bermotifkan hiasan Arab, manakala koleksi kedua, Aura, diinspirasikan daripada ikan Arowana.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here