Ikut 'selera' Cheng Hoe

0
31



Petaling Jaya: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan pemilihan separuh kelompok pemain berusia lebih 30 tahun ditentukan pengurusan tertinggi FAM sebaliknya dicadangkan penolong jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe.

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin, dakwaan skuad Harimau Malaya dibarisi pemain ‘kuda tua’ tidak tepat sama sekali.

Jelasnya, hanya sembilan pemain sudah melepasi usia 30 tahun dan dilabel sebagai kuda tua manakala selebihnya 17 pemain lain berusia di bawah linkungan 30 tahun iaitu tujuh pemain dalam usia 22-25 tahun dan 10 pemain dalam lingkungan usia 26-29 tahun.

“Pemilihan pemain bukan ditentukan oleh pengurusan tertinggi FAM seperti didakwa sesetengah pihak, sebaliknya ia senarai yang dicadangkan Cheng Hoe.

“Jadi peminat, penyokong dan bekas pemain perlu faham dengan situasi semasa dan tidak sepatutnya berterusan membangkitkan persoalan serta kritikan terhadap 26 pemain yang dipilih itu,” katanya semalam.

Menerusi pendedahan Arena Metro sebelum ini, keputusan FAM memanggil hampir separuh pemain berusia lebih 30 tahun menimbulkan pelbagai kritikan dan tohmahan dari peminat serta pemerhati bola sepak tempatan.

Mereka menyalahkan kepimpinan baru FAM yang diterajui Tunku Ismail Sultan Ibrahim apabila menyenaraikan skuad ‘kuda tua’ yang dibimbangi menjadi bahan ‘lauk-pauk’ Lubnan dalam saingan Kelayakan Piala AFC 2019 di Stadium Larkin, 13 Jun ini.

Ujar Hamidin, ketua jurulatih baru negara, Nelo Vingada seorang jurulatih yang meminati pemain muda dan beliau sendiri akan memantau perkembangan skuad itu untuk diserapkan ke dalam skuad kebangsaan pada masa akan datang.

“Cuma untuk perlawanan pertama bertemu Lubnan, Vingada tidak mempunyai masa yang secukupnya untuk menilai pemain dan menggunakan gabungan pemain sedia ada yang dirasakan terbaik buat masa ini menerusi pemantauan pembantunya, Tan Cheng Hoe.

“Anda perlu bersabar dan jika belum apa-apa pun pelbagai kritikan berterusan dilemparkan, kita tidak akan ke mana. Semua kena faham, kita sedang dalam proses untuk melakukan perubahan ke arah lebih positif.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here