Ilham bantu sumbang emas dalam acara 200m

0
423
Advertisement



MALAYSIA menambah satu lagi pingat emas dalam acara olahraga di Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) ke-10 hari ini menerusi Muhammad Ilham Suhaimi dalam acara 200 meter. 

Biarpun dibelenggu kecederaan hamstring yang dialami ketika membantu kuartet 4x100m negara meraih emas semalam tidak menghalang atlet kelahiran Selangor itu untuk menguasai acara 200m dengan catatan 21.77 saat (s).

Ilham menewaskan dua pelari Thailand Kanchai Chimthong dengan catatan 22.04s dan Sittiphon Donpritee, 22.05s masing-masing untuk pingat perak dan gangsa. 

Bagi Ilham, kejayaan itu cukup menggembirakan apabila dia dapat menyempurnakan larian, seterusnya menyumbang emas buat negara. 

Nasihat daripada jurulatih Mohd Poad Md Kassim nyata memberinya semangat untuk meneruskan rentak larian bertenaga biarpun dibelenggu kesakitan. 

“Saya berjaya membuktikan sakit bukan halangan untuk berjaya. Sebelum lari, jurulatih nasihatkan saya untuk tidak terlalu memikirkan kecederaan. Saya cuba fokus dan akhirnya berjaya. 

“Insya-Allah saya akan terus berusaha dan selepas ini sasaran saya adalah untuk membantu kuartet 4x400m negara di ASG dan cuba buat rekod baru di SUKMA (Sukan Malaysia) di Perak pula,” katanya.

Sementara itu, harapan untuk menyumbang satu lagi emas dalam acara lompat kijang menerusi Muhamad Nazri Mustafa tidak kesampaian. Nazri terpaksa berpuas hati dengan pingat perak menerusi kiraan semula apabila tewas kepada atlet Thailand Nattapong Srinonta.

Nattapong merekodkan lompatan 15.29 meter (m) sama seperti Nazri namun berdasarkan kiraan kedua terbaik nyata memihak kepada Nattapong yang mencatatkan 15.24m manakala Nazri 15.14m. Gangsa milik atlet Indonesia Ahmad Ambali Sukur, 14.99m.

Sementara itu, dalam acara lompat bergalah wanita, dua atlet negara Siti Nur Halishya Md Azmi dan Nurul Fitriyana Abdul Rani meraih perak dan gangsa selepas melepasi ketinggian 3.40 dan 3.20m. Mereka tewas kepada atlet Indonesia Diva Renatta Jayadi 3.50m.

Dalam acara 1,500m lelaki, atlet negara S Dinesh Varma meraih gangsa (4.05.53s). Emas dimenangi atlet Vietnam Le Tien Long (4:00.01s) manakala perak milik Erwin Mancao dari Filipina (4:01.77s). 

Hari ketiga ASG 2018 berakhir dengan Malaysia kini mendahului pungutan pingat keseluruhan apabila merangkul 22 emas 23 perak dan 15 gangsa selepas berjaya menambah 14 lagi emas hari ini.

Indonesia berkedudukan tempat kedua 16 emas 16 perak dan 20 gangsa manakala Thailand ketiga 12 emas 16 perak dan 16 gangsa. 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here