Impian raih emas cerah

0
110
Advertisement



KUALA LUMPUR: Impian rakyat Malaysia untuk melihat skuad kebangsaan meraih sekurang-kurangnya satu emas dari sukan sepak takraw di Sukan Asia Jakarta Palembang 2018 kembali menyinar apabila isu undian acara regu kebangsaan kini hampir selesai sepenuhnya.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail, berkata isu berkenaan kini dianggap selesai selepas PSM dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengadakan perbincangan dengan Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia (INASGOC).

Bagaimanapun, Ahmad berkata beliau menyerahkan kepada MOM untuk membuat pengumuman rasmi mengenai keputusan hasil rundingan terbabit.

“Kalau tanya saya memang nak Malaysia jumpa Thailand dulu dalam saingan peringkat kumpulan. Jika kita menang bertemu Thailand dulu itu adalah strategi terbaik. 

“Bagaimanapun, regu sepak takraw Malaysia mestilah mempunyai semangat yang kuat kerana kalau kita menang Thailand dalam perlawanan pertama maka bererti kita akan dapat menewaskan Korea di separuh akhir, sekali gus mencerahkan peluang untuk menang emas di Sukan Asia 2018,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Berikutan itu Ahmad menegaskan pemain sepak takraw Malaysia juga perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk bermain dalam dua perlawanan dengan pasukan berbeza dalam sehari.

“Misalnya pagi mungkin kita jumpa Thailand manakala petang akan jumpa Korea Selatan. Kita tidak perlu takut kerana sudah lama berlatih. Saya juga berharap dan berdoa kepada Allah supaya tiada pemain Malaysia  mengalami kecederaan sebelum temasya Sukan Asia bermula. 

“Justeru saya minta semua pemain supaya berhati-hati ketika berlatih dan tidak melakukan perkara yang boleh mendatangkan kecederaan kepada mereka sama ada ketika berlatih di gelanggang atau di tempat lain,” katanya 

Ahmad berkata skuad sepak takraw kebangsaan juga memilih untuk tidak berlatih dan mengadakan perlawanan persabahatan di luar negara kerana tidak mahu taktik dan strategi Malaysia dibaca pasukan lawan terutama Thailand dan Korea Selatan.

“Ada sebab kenapa kita tidak adakan perlawanan persahabatan di luar negara terutama Thailand kerana kita mahu merahsiakan kehebatan dan kebolehan sebenar pemain sepak takraw Malaysia.. 

“Jika kita berlatih dan mengadakan perlawanan persahabatan di luar negara maka ia memudahkan pihak lawan mengkaji kekuatan dan kelemahan pemain Malaysia. 

“Ini adalah strategi kita untuk memastukan Malaysia mampu meraih pingat emas di Sukan Asia. Biasanya kita akan adakan perlawanan persahabatan dengan empat atau enam negara tetapi kali ini kita tidak akan berbuat demikian,” katanya.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here