Impian tabur bakti

0
66



Kuantan: Kesibukan mengulang kaji pelajaran selain fokus dalam kursus perubatan bukan penghalang Amalia Zulkifli, 22, bergiat aktif dalam aktiviti kesukarelawanan di seluruh negara.

Penuntut tahun dua jurusan perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan itu menggunakan kelebihan mempelajari ilmu perubatan bagi membantu mereka yang memerlukan terutama dalam menjalankan pemeriksaan kesihatan.

Anak jati kelahiran Kajang, Selangor, itu memaklumkan dia pada mulanya tidak berhasrat menyertai aktiviti berkenaan namun atas sokongan keluarga, lama-kelamaan minat kesukarelawanan muncul sendiri.

“Saya berpegang dengan prinsip jika kita tolong orang, maka insya-Allah urusan kita dipermudahkan. Jadi, saya menolong orang melalui aktiviti sukarelawan termasuk membantu mangsa banjir dengan mengaplikasikan apa yang saya pelajari dalam kuliah.

“Jika kita belajar dan praktikkan ilmu itu lebih bagus dan berkembang,” katanya.

Amalia yang berkecimpung dengan aktiviti sukarelawan sejak memasuki kursus Asasi Sains Hayat UIAM, Petaling Jaya, Selangor, tiga tahun lalu menganggap ia tidak menjejaskan pelajaran sebaliknya memberikan lebih pengalaman selain pengetahuan baru.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, dia pernah menyertai misi sukarelawan di Kelantan bagi membantu mangsa banjir pada 2015 selain ke Temerloh pada Januari lalu dalam menjalankan pemeriksaan kesihatan.

“Alhamdulillah, ibu bapa saya sentiasa memberi sokongan. Saya tidak rasa itu beban kerana setiap perkara baik pasti dipermudahkan,” katanya.

Katanya, dia turut menyertai misi kemanusiaan ke Kemboja, Mac lalu anjuran UIAM kampus Kuantan selama seminggu demi membantu masyarakat Islam di negara itu.

Amalia berhasrat terus aktif dalam platform sukarelawan itu selain fokus mencapai impian bergelar pengamal perubatan.

“Apabila saya ditauliahkan sebagai doktor kelak, insya-Allah saya mahu terus berbakti kerana tidak ramai yang sanggup terbabit akibat kekangan beberapa faktor,” katanya.

Dia turut berharap lebih ramai penuntut IPT menyertai aktiviti sukarelawan.

Katanya, tidak kira latar belakang atau bidang dipelajari, setiap masyarakat pasti mampu menyumbang kepada orang lain melalui pelbagai usaha.

SHARE
Previous articleAir mata gembira
Next articleKawal pintu masuk

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here