India malukan skuad Teong Kim

0
256
Advertisement



APA dah jadi? Itu persoalan yang timbul selepas skuad bawah 16 (B-16) tahun negara kendalian Lim Teong Kim dimalukan oleh India apabila tumbang 1-2 dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Skuad yang dibentuk menerusi Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) sejak empat tahun lalu itu jelas gagal bersaing apabila kerap bermain secara hantaran jauh sekali gus menyimpang jauh daripada falsafah bola sepak moden yang diterapkan NFDP sebelum ini.

Teong Kim, 55, yang diletakkan sasaran untuk membawa pasukan layak ke Piala Dunia Remaja di Peru tahun depan, sudah pastinya tidak senang duduk dengan keputusan itu ketika hanya tinggal dua bulan sebelum bermulanya Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Kuala Lumpur, September ini yang menyediakan empat tiket automatik ke Piala Dunia.

Tewas dua kali (0-2, 0-4) kepada Korea Selatan dan hari ini di tangan India, selain meraih kemenangan tipis 4-3 ke atas Indonesia dan membelasah Kemboja 4-0 seharusnya dipandang serius Teong Kim yang dilihat masih bereksperimen dengan pasukannya.

Beliau sepatutnya sudah memiliki barisan kekal untuk menghadapi saingan AFC, namun bekas jurulatih remaja Bayern Munich itu masih lagi menguji beberapa muka baharu dalam pasukannya.

Malah, beliau mengesahkan tidak akan menghantar skuad utama ke Kejohanan AFF di Indonesia bermula Ahad ini dengan pasukan kedua akan mengambil tempat di saingan serantau itu.

Alasan yang diberikan Teong Kim kerana enggan melihat anak buahnya kepenatan, namun fakta sejarah pada 2014 tidak pernah ‘menipu’ apabila skuad kendalian S ¬†Balachandran ketika itu hampir melakar sejarah layak ke Piala Dunia Remaja selepas tewas 2-1 kepada Australia di suku akhir Kejohanan AFC di Bangkok, Thailand.¬†

Walhal sebelum itu, skuad sama turut mencatat sejarah tersendiri apabila merangkul gelaran Piala AFF di Myanmar buat julung kalinya yang mungkin boleh dijadikan pentas buat Teong Kim untuk memperbaiki dan memantapkan pasukan.

Menurut Teong Kim, kesilapan mudah masih lagi menghantui pasukan terutamanya di benteng.

“Pemain tidak bersungguh-sungguh untuk menahan asakan lawan. Selepas kita lepas satu gol, pemain takut memegang bola.¬†

“Ini masalah pemain kita. Saya sudah banyak kali mengingatkan, supaya tidak putus asa walaupun ketinggalan. Kalau lawan bermain dengan kasar, kita pun perlu bermain macam itu,” katanya selepas perlawanan.

Sementara itu, jurulatih India, Fernandes Bibiano mengakui tidak menyangka pasukannya mampu meraih kemenangan ke atas tuan rumah yang sudah lama di bentuk berbanding skuad kendaliannya yang baharu setahun dikumpulkan.

“Pemain saya semakin matang dari masa ke semasa. Selepas ini kami akan menyertai dua lagi kejohanan di Jordan dan Kyrgyzstan hujung bulan depan. Saya yakin jika kami bermain seperti ini, kami boleh melepasi peringkat kumpulan nanti,” katanya.

Saingan AFC dijadualkan berlangsung 20 September depan dengan Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama Jepun, Thailand dan Tajikistan, manakala India, Iran, Vietnam dan Indonesia beraksi dalam Kumpulan C.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here