Indonesia baru cabaran sebenar

0
378
Advertisement



SKUAD bawah 19 tahun (B-19) berdepan cabaran sebenar pada Kejuaraan Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) apabila bertemu tuan rumah Indonesia pada separuh akhir di Gelora Delta Sidoarjo.

Meskipun pernah membenam tuan rumah 4-1 pada aksi kelayakan tahun lalu, namun pengendalinya, Bojan Hodak memberi amaran kepada anak buahnya memandangkan tekanan beraksi di separuh akhir jauh berbeza berbanding ‘keselesaan’ yang dinikmati pada aksi peringkat kumpulan.

“Keputusan lalu tidak bermakna apa-apa kerana aksi kelayakan di Korea Selatan sebelum ini tidak boleh dibandingkan dengan aksi separuh akhir esok.

“Setiap kesilapan akan membawa padah yang besar memandangkan mereka pasukan yang lebih baik berbanding pasukan yang kami temui sebelum ini.

“Malah kami juga kehilangan beberapa tonggak untuk aksi esok dan dengan mereka mendapat sokongan penyokong di laman sendiri, sudah tentu mereka memiliki kelebihan berbanding anak buah saya.

“Namun, kami turun sebagai pasukan bukan pilihan jadi saya berpendapat situasi ini bagus kerana tekanan akan lebih dirasai pasukan Indonesia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut prestasi pasukannya, Hodak nyata berpuas hati dengan pencapaian pasukannya selepas melakar rekod tanpa kalah di peringkat kumpulan dan hanya dibolosi satu gol dalam empat perlawanan.

“Jika kami mahu meraih kejayaan di peringkat antarabangsa, pasukan perlu memiliki pertahanan yang mantap. Apa yang ditunjukkan setakat ini cukup baik memandangkan kami tidak memberi banyak ruang kepada lawan melakukan percubaan.

“Namun jentera serangan perlu ditambah baik kerana kami memiliki lima hingga enam peluang dalam setiap perlawanan namun gagal menyudahkannya dengan baik,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here