Indonesia buat 'hal'

0
386
Advertisement



KUALA LUMPUR: Adakah nasib skuad bawah 23 tahun negara (B-23) dalam kempen Sukan Asia 2018 Indonesia akan lebih baik atau sebaliknya bakal diketahui apabila undian semula dilakukan dalam masa terdekat?

Ia keputusan mengejutkan oleh Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia (INASGOC) untuk melakukan undian semula selepas undian acara bola sepak membabitkan 24 pasukan selesai dijalankan pada 5 Julai lalu.

Undian itu menyaksikan skuad negara kendalian Datuk Ong Kim Swee bertemu juara bertahan Korea Selatan, Kyrgyzstan dan Bahrain dalam Kumpulan E.

Kim Swee yang ditanya mengenai keputusan terbaru itu nyata terkejut kerana tidak mendapat sebarang maklumat mengenainya.

“Saya tidak tahu bagaimana untuk menjawab soalan ini kerana saya juga tidak mendapat sebarang maklumat mengenai undian semula ini daripada pihak penganjur, AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) atau MOM (Majlis Olimpik Malaysia).

“Jika benar ada undian semula, mereka harus melakukan dengan cepat. Saya percaya bahawa negara-negara lain termasuk Malaysia sendiri mahu undian semula ini dibuat secepat mungkin.

“Ini kerana kebanyakan negara sudah merancang persiapan mereka untuk ke Sukan Asia 2018,” katanya.

Tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh INASGOC mengenai keputusan undian semula itu. Bagaimanapun, pihak media hanya mendapat jemputan untuk menghadiri majlis undian berkenaan di AFC House, Bukit Jalil petang esok namun ia dibatalkan pada saat akhir.

Bagaimanapun, difahamkan undian semula itu dilakukan susulan bantahan daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang tidak berpuas hati apabila pasukan mereka tercicir dalam undian awal bersama dengan Palestin akibat masalah teknikal.

Malah, India yang sebelum ini tidak mahu menghantar skuad bola sepak mereka dilaporkan mahu membuat ‘pusingan U’ dan bakal mengambil bahagian.

Undian semula itu dikhuatiri bakal menjejaskan persiapan skuad B-23 negara yang sudah merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan China B-23 pada 5 Ogos dan Arab Saudi (9 Ogos).

“Kita sudah bersetuju untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan China tetapi bagaimana kalau undian semula nanti kita akan bertemu China di peringkat kumpulan? Ini pasti akan mengganggu persiapan bukan saja pasukan kita malah pasukan lain juga.

“Jadi saya berharap isu ini dapat diselesaikan segera sebelum pelbagai lagi masalah timbul,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here