Indonesia janji perketat kawalan keselamatan

0
372
Advertisement



 

 

 

KUALA LUMPUR: Pihak tuan rumah Indonesia berjanji untuk memperketatkan kawalan keselamatan ke atas pemain skuad bawah 19 tahun negara (B-19) berikutan insiden mereka diserang penyokong tempatan selepas perlawanan separuh akhir Kejuaraan AFF 2018 di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, semalam.

  Jaminan yang diberikan pihak penganjur itu disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin yang tidak mahu keganasan seumpama itu berulang kembali apabila anak buah Bojan Hodak turun beraksi di final menentang Myanmar esok.

 “Saya telah menghubungi Naib Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan selaku pengurus pasukan B-19 kebangsaan dan juga pegawai-pegawai pasukan kita di Surabaya, Indonesia bagi mendapatkan maklumat berhubung insiden yang berlaku.

 “Berdasarkan maklumat diterima, terdapat penyokong Indonesia membaling botol dan batu dari tempat duduk penonton ke arah pemain B-19 kebangsaan selepas perlawanan iaitu ketika mereka hendak masuk ke terowong menuju ke bilik persalinan.

 “Kekecohan yang berlaku telah menyebabkan pasukan B-19 kebangsaan keluar lewat hampir sejam untuk pulang ke hotel penginapan. Bagaimanapun, kekecohan itu berjaya dikawal pihak berkuasa dan tiada sebarang kecederaan dialami pemain dan pegawai pasukan B-19 kebangsaan.

 “Susulan insiden itu, saya telah menghubungi Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Joko Driyono dan beliau berjanji akan meningkatkan tahap kawalan keselamatan pasukan B-19 kebangsaan ketika menjalani latihan pada hari ini dan juga ketika di hotel penginapan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 Insiden itu tercetus apabila penyokong Indonesia tidak berpuas hati apabila skuad Garuda Muda tewas kepada Malaysia menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas aksi sebenar terikat 1-1.

 Menerusi video yang diterima Sukan NSTP yang dirakam sendiri Hodak, kelihatan pemain dan pegawai pasukan negara terpaksa berlari ke bilik persalinan untuk menyelamatkan diri daripada diserang penyokong tuan rumah yang didakwa membaling botol minuman dan batu.

 Hamidin berkata, pihak tuan rumah memohon maaf atas insiden yang berlaku namun pihak FAM masih menunggu laporan perlawanan sebelum tindakan susulan dibuat.

 “Joko Driyono sebagai mewakili PSSI turut meminta maaf di atas insiden yang tidak diingini itu.

Bagi pihak saya dan FAM, kami akan menunggu laporan daripada Match Commissioner (MC) dan pengadil sebelum mengambil apa-apa tindakan selanjutnya berhubung insiden ini.

 “Saya juga telah dihubungi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan telah menjelaskan semua apa yang berlaku. Insya-Allah semuanya dalam keadaan terkawal,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here