Indonesia siasat 100 warga China mengenai jenayah siber

0
17

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia menahan 148 warga China dan melumpuhkan satu rangkaian jenayah siber yang menipu dan memeras ugut rakyat negara itu yang pernah mengunjungi Indonesia.

Media-media atas talian memetik Ketua Biro Penerangan Masyarakat Polis Republik Indonesia, Rikwanto sebagai berkata kesemua rakyat China itu ditahan dalam operasi khas selama dua hari mulai Sabtu lepas di empat wilayah iaitu Jakarta, Batam, Bali dan Surabaya.

Modus operandi rangkaian kumpulan itu ialah dengan menyamar sebagai anggota pihak berkuasa Indonesia dan menghubungi semula rakyat China yang pernah berkunjung ke Indonesia dan mendakwa mereka telah melakukan kesalahan ketika berada di Indonesia.

Rikwanto berkata kumpulan penjenayah terbabit kemudian menawarkan rundingan untuk menyelesaikan kes dengan meminta individu yang dihubungi itu memasukkan wang ke dalam akaun tertentu.

Katanya ramai mangsa penipuan itu kemudianya menyedari mereka telah diperdaya lalu membuat laporan polis di China.

Rikwanto berkata setelah mendapat maklumat dari pihak berkuasa China, polis Indonesia kemudiannya melancarkan satu operasi khas dengan menyerbu dan menahan anggota sindiket rangkaian penjenayah itu di beberapa buah rumah sewa di keempat-empat wilayah berkenaan.

Kumpulan penjenayah itu dilapor menjalankan kegiatan penipuan terbabit sejak Mac lepas dan pihak polis masih menyiasat bagaimana mereka mempunyai maklumat dan data peribadi mangsa.  

Kesemua anggota kumpulan penjenayah terbabit kini ditahan di Balai Polis Metro Jaya di sini bagi siasatan lanjut. 

Menurut laporan media, sebanyak 1.36 juta rakyat China melancong ke Indonesia tahun lepas dan jumlah itu dijangka meningkat tahun ini.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here