Industri filem wajar tumpu platform digital

0
35

KUALA LUMPUR: Industri perfileman wajar memberi perhatian kepada platform digital sebagai satu lagi peluang untuk menjana pendapatan.

Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) Datuk Norman Abdul Halim berkata ini kerana majoriti penonton terdiri daripada golongan muda lebih berminat menggunakan platform digital untuk mengakses pelbagai kandungan.

“Sekarang ini kita ada platform digital yang lebih popular, iaitu platform digital secara permintaan (on demand) ataupun langganan permintaan.

“Ini mencipta satu lagi peluang ataupun ‘window’ kepada penerbit dan pengedar untuk menjana pendapatan di luar pawagam dan di luar siaran televisyen,” kata Norman ketika ditemui Astro AWANI pada Forum Cetak Rompak Kandungan di Petaling Jaya pada Selasa.

Bagaimanapun, Norman berkata sehingga ini masih tiada formula yang konsisten dari segi pendekatan dalam menggunakan platform digital ini.

“Kita lihat harus ada pertimbangan bagaimana untuk mewujudkan lebih banyak platform VOD (video-on-demand) dalam negara.

“Ada penerbit atau pengedar yang memasuki Astro First, mungkin ada yang melalui platform lain atau terus ke stesyen tidak berbayar.

“Bagi mana-mana kandungan sekalipun, di luar negara ada platformnya, walaupun semua ada hak masing-masing, tetapi industri secara keseluruhan sepatutnya ada satu sistem yang lebih teratur,” katanya.

Tegas Norman, penggiat industri perlu lebih bersedia kerana platform digital dan penggunaan VOD ini adalah masa depan industri filem.

“Ini akan memberi manfaat kepada penggiat industri dan juga penonton dalam negara.

“Mereka yang tiada akses kepada pawagam boleh mendapat kandungan ini melalui platform digital ini.

“Ini sekaligus dapat memastikan mereka tidak mencari alternatif haram seperti cetak rompak dalam mendapatkan akses kepada kandungan,” katanya.

Sementara itu, satu kajian oleh Alexa Data baru-baru ini mendedahkan di Malaysia, jumlah paparan laman web yang memiliki kandungan cetak rompak adalah 3.25 kali lebih tinggi berbanding laman web yang sah.

Bagi Norman yang sudah lama berkecimpung dalam industri kandungan, selain penguatkuasaan, pengguna juga perlu diberi pendedahan tentang maklumat kesalahan cetak rompak dari segi undang-undang. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here