Industri kewangan Islam perlu bekerjasama tangani cabaran – Johari

0
18

KUALA LUMPUR: Industri kewangan Islam Malaysia perlu bekerja secara kolektif dan berterusan untuk menangani pelbagai cabaran dan memperbaiki kelemahan sambil terus berkembang, berinovasi dan maju, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, kewangan Islam perlu dapat bersama dengan perubahan pantas industri kewangan, permintaan dan tawaran, tanpa mengabaikan kesetiaan kepada prinsip dan etika Syariah.

“Adalah penting untuk memastikan bahawa sistem kewangan Islam terus relevan, berdampak dan berdikari pada masa depan, ” katanya pada Majlis penutupan Pameran Pelaburan Syariah Bursa Malaysia 2017 di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, fikiran terbaik dalam kewangan Islam dan pasaran modal Islam digalakkan untuk memikirkan peranan kewangan Islam pada masa hadapan, dan bagaimana menyumbang kepada masyarakat dan memberikan nilai sebenar bagi ekonomi sebenar dalam aspek pelaburan Syariah.

Johari berkata, Malaysia juga mengiktiraf terangkuman kewangan sebagai keutamaan dasar dan terus memupuk akses yang lebih besar untuk menangani jurang yang masih wujud.

“Hari ini, terangkuman kewangan telah menjadi agenda dasar global yang penting untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya.

Menurutnya, sebagai sebuah negara yang meletakkan kepentingan tinggi terhadap keterangkuman kewangan, Malaysia menghargai bahawa mempromosi kewangan inklusif adalah kunci ke arah mencapai pertumbuhan dengan ekuiti dan seterusnya membantu negara merealisasikan matlamat untuk berkongsi kemakmuran ekonomi secara adil dalam kalangan semua rakyat.

“”Hari ini, kemunculan teknologi dan teknologi kewangan (fintech) baharu akan mentakrifkan semula usaha kita untuk mengukuhkan keterangkuman kewangan kita.

“Ketika kita terus berkhidmat kepada lapan peratus kumpulan yang tidak mendapat perkhidmatan bank melalui pelbagai usaha seperti bank ejen dan pembekal perkhidmatan bukan bank seperti penerbit e-wang dan pengiriman wang, kita juga meneliti untuk mendemokrasi pelaburan dalam keseluruhan agenda terangkuman kewangan,” katanya.

Menurutnya, dengan penembusan Internet yang semakin meningkat serta adanya pelbagai platform pembiayaan alternatif, aktiviti pelaburan tidak lagi eksklusif untuk “pelabur bertauliah” tetapi lebih mudah diakses oleh orang ramai.

Sementara itu, beliau berkata, untuk menangani aktiviti penipuan yang melibatkan pelaburan haram di negara ini, pendidikan pelabur memainkan peranan penting dalam memastikan perlindungan pelabur yang mencukupi dan langkah berjaga-jaga untuk mengelak menjadi mangsa skim berniat jahat itu.

“Untuk mengelak dan membetulkan keadaan ini, rakyat Malaysia perlu mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk mengurus kewangan mereka dengan berkesan, ” katanya.

Beliau berkata, membina keupayaan dan kecelikan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia adalah penting dan keutamaan negara, termasuk keupayaan untuk membuat keputusan pelaburan yang baik, membina dan mengurus kekayaan dan bersedia secukupnya untuk persaraan.

“Inisiatif pendidikan pelabur untuk membangunkan kecelikan kewangan dan pelaburan dalam kalangan pelajar sekolah, kolej dan universiti amat penting dalam membangunkan pelabur generasi akan datang untuk menjadi lebih bijak pelaburan,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata, kerajaan mengalu-alukan lebih banyak program pendidikan kewangan dan pelaburan untuk memastikan generasi muda negara menjadi celik kewangan.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here