Ini pesanan AirAsia kepada MAHB…

0
288
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) perlu menghentikan perbuatan memilih data tertentu demi memenuhi agendanya dan sebaliknya menjadi rakan yang jujur serta bekerjasama dengan AirAsia bagi kepentingan Sabah, kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat.

Beliau merujuk kepada satu kenyataan baru-baru ini dengan tajuk ‘Malaysia Airports confirms that Sabah air traffic and tourism are growing’ (Malaysia Airports sahkan aliran trafik dan pelancongan Sabah semakin meningkat) yang menunjukkan MAHB menyifatkan pertumbuhan negatif Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 2014 dan 2015 sebagai alasan untuk memindahkan AirAsia ke Terminal 1 (T1) KKIA.

“Menerusi tumpuan terhadap dua tahun itu, MAHB boleh menyebabkan orang ramai percaya bahawa jumlah penumpang (di KKIA) mengalami penyusutan sejak sekian lama dan masalah itu hanya dapat diatasi dengan memindahkan AirAsia dari Terminal 2,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

AirAsia beroperasi di T2 mulai pertengahan 2004 sehingga Disember 2015 apabila ia akur untuk berpindah ke T1 kerana ketiadaan kemudahan bagi operasinya pada masa itu, katanya.

Sepanjang tempoh itu, jumlah penumpang KKIA berkembang bagi tahun ke tahun setiap tahun, kecuali pada 2014 dan 2015.

Menurut Riad, penurunan aliran penumpang di KKIA bagi kedua-dua tahun itu tiada kaitan dengan T2 sebaliknya kekurangan pelancong ke Sabah, khususnya dari China yang dirujuk Menteri Pelancongan (ketika itu) dan Persatuan Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia adalah berkaitan dengan kejadian penculikan termasuk dua warga China dalam insiden berasingan pada April dan Mei 2014.

Sejak memulakan operasinya ke Kota Kinabalu, AirAsia telah mengembangkan rangkaiannya di sana kepada 16 laluan setakat ini, termasuk enam laluan unik.

Malah, kata Riad, AirAsia juga dapat meningkatkan bilangan penumpangnya sebanyak 25 peratus setahun sejak 2001.

“Bukan itu saja, kami sudah menurunkan dengan banyak tambang antara Kota Kinabalu dan Semenanjung Malaysia, termasuk ke bandar kecil yang tidak mempunyai perkhidmatan terus sebelum ini,” katanya.

Melihat pentingnya Kota Kinabalu kepada AirAsia, syarikat penerbangan tambang murah itu ingin terus meningkatkan sambungan udaranya dan mempunyai perancangan besar untuk menjadikan KKIA sebagai hab bagi perkhidmatan ke China, Korea Selatan, Jepun dan India serta pusat transit antara Australia dan Asia Utara, kata Riad.

Berdasarkan jangkaan AirAsia, syarikat penerbangan itu dapat meningkatkan saiz kapasitinya di Kota Kinabalu daripada lapan pesawat kepada 45, termasuk 10 Airbus A330, dalam masa 10 tahun akan datang.

“Ini akan menjadikan tiga kali ganda kapasiti pada masa ini dan berupaya mengendalikan perkhidmatan terus ke pasaran utama seperti utara China, Korea Selatan dan Jepun, begitu juga Australia dan India, membolehkan AirAsia mengangkut 18 juta penumpang ke dan dari Kota Kinabalu menjelang 2028.

“Bagaimanapun, kami tidak dapat melakukannya sementara kami terus dikekang dengan asas kos yang lebih tinggi di T1,” katanya.

Kerajaan Negeri Sabah sedang menimbang untuk menyiapkan pembinaan lapangan terbang baharu dalam masa beberapa tahun, dan Riad berkata, AirAsia sudah meminta sebuah terminal LCC (penerbangan tambah murah) untuk dipertimbangkan dalam pelan induknya.

“Buat masa ini, T2 boleh diberi nafas baharu untuk kegunaan LCC, yang akan turut menjadikan keadaan T1 lebih selesa setelah semakin pesat mencapai kapasitinya, bagi perkhidmatan penuh syarikat penerbangan,” katanya.

AirAsia juga bersedia memperuntukkan sejumlah kos bagi pengubahsuaian T2, “yang enggan diselenggarakan atau dinaik taraf oleh MAHB dalam usaha memindahkan AirAsia ke T1”, katanya.

“Ia akan menjadi lebih baik berbanding sebelumnya, dan tiada kos yang akan ditanggung oleh MAHB atau kerajaan negeri. Semuanya yang kami mohon adalah peluang untuk terus mengembangkan Kota Kinabalu berdasarkan potensi sebenar bandar itu dalam memberi manfaat kepada penduduk Sabah, seperti yang sentiasa kami lakukan,” katanya.

Dalam kenyataannya itu, AirAsia turut merangkumkan ilham artis yang memaparkan pengubahsuaian T2.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here