Intan masih minat berlakon

0
74


INTAN Ladyana. – Foto Nurul Shafina Jemenon

KUALA LUMPUR: Hampir setahun memperlahankan aktiviti seni kerana ingin memberi fokus kepada perniagaan minyak wangi yang diusahakan, pelakon Intan Ladyana mengakui bersedia untuk kembali agresif menerima tawaran baharu.

Muncul dengan drama rantaian terbaru, Semusim Rindu bergandingan dengan Ben Amir pada Ramadan ini, Intan atau nama lengkapnya, Intan Nurladyana Mohamad Yahaya, berkata kerinduan terhadap lakonan tidak pernah bernoktah sepanjang tempoh itu.

“Tahun lalu, saya hanya sempat menjayakan sebuah telefilem. Alhamdulillah, tahun ini, saya kembali dengan drama rantaian 40 episod, Semusim Rindu yang menjadi naskhah pertama selepas dua tahun tidak menerima tawaran produksi bersiri.

“Sepanjang berehat, saya masih menerima tawaran, cuma saya mencari naskhah berbeza. Bohong jika saya tidak rindu berlakon, apatah lagi lakonan sudah sebati dengan diri tapi saya juga perlu berehat memandangkan sebelum ini bekerja tanpa henti.

“Sepanjang tempoh itu, saya sibuk menguruskan perniagaan minyak wangi. Sepatutnya ia dilancarkan tahun lalu, tetapi disebabkan masalah tertentu, perancangan itu tertunda. Insya-Allah, ia akan dikeluarkan pada bulan puasa ini,” katanya.

Intan berkata, minyak wangi yang diberi nama Ladyana itu sudah menemui pelanggan di Singapura. Pelakon filem Adnan Sempit ini berkata, dirinya sudah lama menyimpan impian menghasilkan minyak wangi menggunakan jenama sendiri.

Disebabkan kurang yakin, niat itu sering tertangguh namun selepas melihat sambutan yang diberikan terhadap selebriti yang mengeluarkan produk sendiri, Intan nekad memulakannya.

Beralih mengenai perkembangan peribadinya, wanita berdarah kacukan Thailand ini memilih untuk mengunci mulut. Bukan sengaja mengelak sebaliknya Intan lebih selesa begitu kerana sudah serik begitu terbuka berkongsi hal peribadi.

“Jangan risau, saya akan berkongsi apabila tiba masanya nanti. Cuma, buat masa ini, tiada apa yang dapat saya kongsi. Bagi yang mengetahui status saya, tahulah. Doakan saja yang terbaik buat saya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here