Iran bina kilang peluru berpandu ketiga

0
44


ANKARA: Iran membina kilang pengeluaran peluru berpandu balistik ketiganya dan akan terus membangunkan program sedemikian pada masa depan.

Agensi berita separa rasmi Iran Fars melaporkan hari ini, kilang bawah tanah ketiga Iran itu dibina Pengawal Republikan sejak beberapa tahun lalu, kemungkinan mencetuskan ketegangan dengan jirannya negara Arab dan Amerika Syarikat (AS).

“Kami akan terus membangunkan keupayaan peluru berpandu secara bersungguh-sungguh,” Fars memetik Ketua Jabatan Ruang Udara Pengawal Republikan Amirali Hajizadeh sebagai berkata.

Sejak mengambil alih jawatan Januari lalu, Presiden Donald Trump melaksanakan sekatan baharu ke atas Iran sebagai tindak balas terhadap pelancaran peluru berpandu terbaru Tehran, meletakkan negara itu ‘dalam notis.’

Negara jirannya di Teluk Arab dan musuh utamanya, Israel melahirkan kebimbangan berhubung program peluru berpandu balistik Tehran, dilihat sebagai ancaman kepada keselamatan serantau.

“Tidak mustahil musuh kami Amerika dan rejim Zionis (Israel) berang dengan program peluru berpandu kerana mereka mahu Iran berada dalam kedudukan lemah,” kata Hajizadeh.

Sebagai tentangan terhadap sekatan baharu AS, Iran menambah sembilan individu dan firma AS ke dalam senarainya yang termasuk 15 syarikat atas dakwaan pelanggaran hak asasi manusia dan kerjasama dengan Israel. – Reuters

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here