Irfan mula selesa

0
50



Pada usia 16 tahun, nama penyanyi Irfan Haris semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik tanah air.

Namun, itu tidak pernah membuatkannya leka walaupun semakin selesa dengan situasi itu.

“Sejak kecil, impian saya adalah untuk menjadi penyanyi. Jadi, sememangnya saya sudah bersedia untuk berdepan situasi sebegini,” katanya.

Ditanya mengenai perubahan hidupnya dalam tempoh enam bulan sejak lagu popularnya, Redha mencuri perhatian ramai, Irfan ada ceritanya.

“Kalau dulu ramai tak kenal saya, sekarang semuanya berubah. Contohnya, jika saya pergi menonton wayang, ada orang perasan kehadiran saya.

“Saya tidak rimas dan berasakan semua itu adalah normal. Menjadi tanggungjawab untuk melayan mereka yang menyokong kerjaya dan lagu saya,” katanya.

Mengakui perkembangan kerjayanya agak pantas, Irfan sentiasa bersyukur dengan rezeki yang diterimanya.

Terbaru, Irfan baru saja selesai merakamkan single keduanya ciptaan penyanyi muda, Haqiem Rusli.

“Buat masa sekarang, kami masih meneliti dan berbincang mengenai judul yang sesuai untuk lagu ini. Ia adalah ciptaan Haqiem Rusli manakala liriknya ditulis Haqiem sendiri dan Ippo Hafiz,” katanya.

Ditanya sama ada dia masih mempertaruhkan lagu berunsur ketuhanan untuk single kedua ini, Irfan memaklumkan ada perbezaan berbanding single pertama.

“Saya masih muda dan ingin mencuba pelbagai variasi lagu. Jadi, kalau boleh tidak mahu stereotaip dan pendengar menganggap saya sebagai penyanyi lagu ketuhanan semata-mata.

“Untuk single kedua ini, ia berkisar mengenai kisah cinta dan apa yang boleh saya katakan, ada perbezaan berbanding single terdahulu,” katanya.

Irfan juga mengakui bahawa cabaran untuk single kedua ini mendapat tempat tentunya sukar kerana momentum yang diterima menerusi Redha terlalu kuat.

“Semestinya akan menjadi cabaran yang sangat besar buat single kedua ini untuk melangkaui apa yang saya terima daripada Redha.

“Apa yang boleh saya katakan, saya sudah berikan yang terbaik untuk buah tangan kedua ini dan harapnya, diterima dengan baik,” kata Irfan.

Jika semuanya berjalan lancar, single keduanya ini bakal dilancarkan menjelang Mei tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here