Irfan terus menggegar

0
67



Kuala Lumpur: Atlet lempar cakera negara, Muhamad Irfan Shamsuddin terus menggegar apabila memecahkan rekod kebangsaan buat kali ketiga dalam tempoh kurang seminggu.

Irfan yang sebelum ini menjadi atlet pertama dari Asia Tenggara melakukan catatan melebihi 60 meter, melebarkan rekod itu kepada 62.55m di Kejohanan Olahraga Union Leichtathletic Gala di Linz, Austria, semalam.

Dia menamatkan saingan di kedudukan kedua di belakang atlet tuan rumah Lukas Weisshaidinger (65.35m) manakala Roland Varda dari Crotia ketiga (58.65m).

Pada 21 Mei lalu, Irfan memecahkan rekod kebangsaan miliknya dengan balingan 61.10m di Halle Jerman. Dua hari selepas itu Irfan sekali lagi merekodkan rekod baru kebangsaan 61.56m di Turnov Republik Czech.

Namun semua itu belum cukup buat Irfan yang terus memburu balingan terbaik kerana percaya sesuatu yang lebih ‘besar’ akan berlaku.

“Perancangan saya selepas ini adalah kembali ke Slovakia untuk meneruskan latihan. Saya ada satu lagi pertandingan di Budapest, Hungary minggu depan dan kita lihat nanti bagaimana.

“Saya harap dapat meneruskan balingan terbaik,” katanya yang menegaskan masih dahagakan kejayaan kerana belum sampai ke kemuncak prestasi.

Sebagai rekod, Irfan, 22, mula memperbaharui rekod kebangsaan 58.04m miliknya pada 2015, ketika menjalani latihan di Eropah, menerusi balingan sejauh 58.21m dan 58.33m di Kejohanan Olahraga Terbuka Weertage Hallesche, Jerman pada 22 Mei 2016.

Seminggu selepas itu, dia sekali lagi memperbaharui rekod kebangsaan dua kali dengan catatan 58.47m dan 58.48m di Kejohanan Terbuka Memorial Liese Prokop di St Polten, Austria.

Irfan meneruskan kecemerlangannya dengan melakar 59.29m di Kejohanan Kelab Slovak di Samorin, Slovakia pada 11 Jun 2016.

Irfan adalah pemenang emas acara lempar cakera di Sukan SEA sejak dua edisi lalu – Myanmar 2013 dan Singapura 2015.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here