Iskandar paling layak: Rashid

0
281
Advertisement



KUALA LUMPUR: Legenda badminton negara, Rashid Sidek menyifatkan Iskandar Zulkarnain Zainuddin calon paling layak bagi menggantikan tempat Datuk Lee Chong Wei yang terpaksa digugurkan daripada skuad badminton ke Sukan Asia 2018 berdasarkan pengalaman dimiliki pemain itu. 

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semalam, mengesahkan menarik penyertaan Chong Wei ke Kejohanan Dunia di Nanjing, China bermula Isnin ini dan Sukan Asia di Jakarta, Indonesia dari 19 hingga 29 Ogos selepas disahkan mengalami masalah pernafasan yang menyaksikan dia perlu berehat sebulan. 

Rashid yang juga bekas ketua jurulatih perseorangan negara, berkata ia juga peluang buat BAM menilai semula prestasi Iskandar selepas pemain berusia 27 tahun itu digugurkan sebelum ini akibat merokok. 

Nama Iskandar pada awalnya disenaraikan untuk ke Jakarta sebelum digantikan dengan Soong Joo Ven selepas dia ditangkap merokok ketika saingan Piala Thomas di Bangkok, Thailand, Mei lalu dan perlu menjalani proses pemulihan daripada tabiat tidak sihat itu. 

“Pada pandangan saya, Iskandar calon paling layak berdasarkan pengalaman dimilikinya. Lagipun, dia sudah beberapa kali beraksi dalam kejohanan besar termasuk Piala Thomas dan Sukan Asia, itu pastinya membuatkan lebih mudah untuk dia menyesuaikan diri dan mengawal tekanan. 

“Kalau diberi peluang beraksi, Iskandar perlu memanfaatkan peluang itu sebaik mungkin. Buktikan kepada BAM yang dia masih yang terbaik dalam kalangan pemain negara dan sudah sedar dengan kesilapan (merokok) yang dilakukannya sebelum ini,” kata Rashid ketika dihubungi, hari ini. 

Terdahulu, Setiausaha Kehormat BAM, Datuk Ng Chin Chai memaklumkan badan induk itu hanya boleh menamakan pengganti Chong Wei berdasarkan senarai yang dihantar kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum ini yang menyaksikan persaingan antara Iskandar, Lim Chi Wing dan Tan Jia Wei. 

Skuad badminton akan mengambil bahagian dalam acara berpasukan dan individu di Jakarta dengan sasaran menyamai pencapaian empat tahun lalu di Incheon, Korea Selatan yang menyaksikan Malaysia memenangi pingat gangsa berpasukan dan perseorangan lelaki menerusi Chong Wei. 

“Jika BAM memutuskan untuk menghantar pasukan kali ini dengan tujuan pendedahan, jadi saya fikir Jia Wei perlu diberi peluang kerana dia masih muda dan mempamerkan prestasi yang baik dalam beberapa kejohanan sebelum ini. 

“Namun, jika mahu pasukan yang mampu memberi cabaran, Iskandar perlu ada kerana dia ada pengalaman yang boleh membimbing perseorangan lelaki yang lain,” kata Rashid. 

Pemain perseorangan lelaki yang sudah disenaraikan ialah Lee Zii Jia, Leong Jun Hao dan Ven selain beregu, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin serta Chan Peng Soon-Goh Soon Huat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here