ISN kecewa tindakan 3 penembak

0
461
Advertisement



INSTITUT Sukan Negara (ISN) kecewa dengan tindakan bekas penembak negara, Muslifah Zulkifli, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim dan Nur Suryani Taibi yang mahu membawa kes saman mereka ke Mahkamah Rayuan.

Dalam satu kenyataan, di sini, hari ini, ISN berkata: “Atlet terbabit mahu meneruskan hasrat mereka ke mahkamah apabila mengumumkan untuk membawa perkara ini ke Mahkamah Rayuan.

“Jadi perkara ini sudah menjadi kes mahkamah. ISN tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes ini agar tidak mengganggu perjalanan mahkamah.

“ISN kecewa terhadap atlet terbabit kerana mereka mahu meneruskan hasrat membuat rayuan tetapi memilih untuk mengadakan sidang media mengenai kes ini yang mana sepatutnya ia dibicarakan di depan mahkamah,”.

Tiga bekas penembak itu membawa kes saman ini ke Mahkamah Seksyen dan Mahkamah Tinggi sejak Oktober 2017 sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak kes itu pada 6 Julai lalu.

Menerusi peguam bela Ahsa Advocates & Solicitors, bekas penembak itu mendakwa ISN menggunakan Akta ISN Seksyen 44 di mana tiada tindakan, guaman, pendakwaan atau prosiding lain boleh diambil atau dibawa, dimulakan atau dikekal terhadap (a) institut, (b) mana-mana anggota institut atau jawatankuasa, atau mana-mana pegawai, pekerja atau ejen institut atau (c) mana-mana orang lain yang bertindak dengan sah pihak institut.

Tiga bekas penembak terbabit mendakwa ISN seolah-olah kebal dengan Akta Seksyen 44 itu apabila kes mereka diketepikan oleh mahkamah tanpa memberi peluang membela diri.

Berikutan itu, ketiga-tiga penembak itu berharap mereka dapat berjumpa dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi meluahkan permasalahan yang berlaku. 

Sebagai rekod, ketiga-tiga atlet itu dikatakan digugur daripada Program Podium tanpa alasan yang kukuh sehingga Nur Ayuni dan Muslifah disingkirkan daripada skuad menembak bagi Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here