Isu Thaqif dikelaskan semula bawah kes bunuh

0
84



Polis mengelaskan semula siasatan kematian Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, berkaitan kesalahan membunuh.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar‏ mengumumkan perkara itu di Twitter beliau, sambil mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham.

Thaqif, pelajar sebuah madrasah tahfiz persendirian di Johor Bahru, yang dipercayai dipukul oleh seorang pembantu warden dilaporkan meninggal dunia hari ini.

Allahyarham dimasukkan ke hospital Rabu lalu susulan dakwaan dipukul menyebabkan kecederaan dan jangkitan sehingga kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong.

Keadaan sama mungkin melibatkan tangannya yang hitam hingga ke paras siku. Bagaimanapun pembedahan itu ditangguhkan hari ini berikutan keadaan jantungnya dilapor tidak stabil.

Polis Kota Tinggi setakat ini masih menahan reman pembantu madrasah itu bagi melengkapkan siasatan terhadap kes itu.

Sementara itu, portal Berita Harian Online melaporkan proses bedah siasat Mohamad Thaqif Amin dijangka mengambil masa sehingga lima jam.

Portal itu memetik Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Penerangan dan Pendidikan negeri, Datuk Ayub Rahmat, sebagai berkata proses bedah siasat mengambil masa lama berikutan ia membabitkan kes yang kompleks.

“Proses bedah siasat baru sahaja bermula dengan sesi pertanyaan daripada pihak hospital kepada keluarga mangsa dan dijangka mengambil masa antara dua hingga lima jam.

“Masa bedah siasat yang diambil lama berikutan kes ini agak kompleks dan berharap ahli keluarga dapat bersabar. Jenazah dijangka selesai diuruskan paling awal jam 8 malam ini dan dijangka tiba di Felda Bukit Aping Timur pada jam 10 malam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di perkarangan Rumah Mayat Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru.

Yang turut hadir melawat ialah Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Noh Gadut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here