Jalaluddin mahu berbulan madu di Moscow tapi…

0
26

Selamat bergelar suami isteri, pelakon veteran Datuk Jalaluddin Hassan, 63, menyatakan hasrat untuk ‘berbulan madu’ bersama isterinya, Rapidah Abdul Ghani, 41, di Moscow, Rusia.

Perancangan itu telah dibuat bersama anak-anak dan cucu-cucunya sebelum majlis perkahwinan yang diadakan semalam (Ahad).

Bagaimanapun, Jalaluddin terpaksa membatalkan impiannya untuk ke Moscow kerana beberapa sebab.

“Pada mulanya saya berbincang dengan isteri saya untuk ke Moscow bersama keluarga saya yang sudah lama merancang untuk melancong ke sana.

“Memang setiap tahun kami sekeluarga akan meluangkan masa untuk bercuti bersama-sama.

“Namun, Rapidah menolak pelawaan saya sebab dia mahu mengambil masa lebih panjang untuk mengenali lebih dekat anak-anak dan cucu-cucu barunya.

“Dengan masa yang ada ini biarlah dia kenal dahulu dengan anak-anak dan barulah kami akan ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan ibadah umrah,” katanya kepada Astro Gempak.

Jalaluddin dan Rapidah selamat bernikah pada pagi Ahad dengan sekali lafaz di Masjid Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Kuala Lumpur.

Majlis itu dihadiri oleh lebih 100 orang tetamu dan menyaksikan pengantin lelaki menghadiahkan lima dulang hantaran termasuk sebuah kerusi urut berharga RM20,000 berbalas tujuh daripada pihak Rapidah.

Pasangan itu berkenalan pada Ramadan tahun lalu ketika pengacara Who Wants To Be A Millionaire menghadiri rumah terbuka abang Rapidah, Lokman Ghani di Melaka.

Jalaluddin pernah mendirikan rumah tangga dengan Hashimah Mad Ehsan selama 40 tahun sebelum arwah isterinya meninggal dunia akibat komplikasi pelbagai penyakit pada tahun lalu.

Teks oleh: Amri Hassan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here