James Wong pilih Belgium

0
246
Advertisement



KEMANTAPAN di semua posisi dan persembahan konsisten dipamerkan Belgium sepanjang pertandingan kali ini memberi keyakinan kepada Datuk James Wong untuk memilih pasukan itu mara ke final Piala Dunia.

Legenda bola sepak negara itu berkata ia berbeza dengan Perancis, lawan yang bakal ditemui Belgium pada separuh akhir, awal pagi esok waktu Malaysia yang hanya bergantung pada beberapa pemain.

“Saya bukan penyokong Belgium tapi tertarik dengan corak persembahan mereka pada kali ini. Boleh dikatakan pasukan itu serba lengkap daripada posisi penjaga gol hingga penyerang.

“Mereka bermain sebagai satu unit dan tidak bergantung pada individu walaupun mempunyai nama besar seperti Eden Hazard, (Vincent) Kompany dan (Romelu) Lukaku.

“Malah, Belgium adalah pasukan yang paling konsisten sepanjang Piala Dunia kali ini yang mana mereka adalah satu-satunya pasukan yang belum kalah dan menjaringkan paling banyak gol.

“Kemenangan ke atas Brazil pada suku akhir menambahkan keyakinan saya bahawa mereka adalah calon ke final malah berpotensi untuk bergelar juara,” katanya.

James yang terkenal dengan nama jolokan ‘King James’ sebaliknya ternyata tidak yakin dengan keupayaan Perancis yang dianggapnya terlalu bergantung pada Antoine Griezmann dan Kylian Mbappe.

“Mereka tidak mempunyai ramai pemain berwibawa sebagaimana Belgium dan persembahan mereka juga tidak konsisten walaupun menewaskan Argentina dan Uruguay dalam laluan ke separuh akhir,” katanya.

Mengenai satu lagi slot final yang menjadi rebutan antara England dan Croatia, James berkata beliau tidak mempunyai pilihan namun berharap Croatia akan mencipta sejarah.

“Tidak banyak perbezaan ketara antara kedua-dua pasukan ini, namun Croatia memiliki sedikit kelebihan di bahagian tengah. Sukar untuk membuat ramalan tapi saya mahu lihat Croatia beraksi di final,” kata pemain yang membawa Malaysia layak ke Olimpik Moscow 1980.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here