Jamin KFA bebas politik

0
383
Advertisement



PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang baharu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, memberi jaminan tidak akan melantik ahli politik dalam persatuan itu jika ia hanya sekadar memenuhi kekosongan jawatan.

Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah berkata, sebarang lantikan dalam KFA akan disaring sebaik mungkin termasuk aspek profesionalisme dan rekod cemerlang sebelum diberikan jawatan dalam persatuan itu.

“Kita akan elak melantik ahli politik hanya semata-mata untuk memenuhi kekosongan atau sekadar untuk mendapat imbuhan atau habuan sebaliknya kita mahu mereka yang profesional,” katanya pada sidang media selepas Kongres Tahunan KFA ke-43 di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Pada pemilihan kongres itu, Mukhriz kembali menerajui KFA selepas menang tanpa bertanding pemilihan jawatan utama.

Beliau yang pernah menyandang jawatan Presiden KFA pada 2013 hingga 2016, menerima pencalonan daripada ahli gabungan dan dipilih memegang jawatan terbabit selepas tidak menerima tentangan daripada calon lain.

Selain itu, jawatan lain dalam KFA yang dipilih membabitkan Timbalan Presiden KFA disandang oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Abdul Rahman Abdullah dan tiga naib presiden (Khamal Idris Ali, Yusuri Yusof, Anas Hafiz Mustafa).

Pada manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, Mukhriz yang juga Pengerusi PH Kedah berjanji akan menilai pembabitan ahli politik dalam KFA.

Mengulas kedudukannya sebagai presiden, Mukhriz berkata meskipun beliau adalah ahli politik, namun ia dibuat mengikut syarat ditetapkan kerana membabitkan proses pemilihan dengan pencalonan namanya datang daripada ahli gabungan sendiri.

“Hari ini adalah proses pemilihan dengan pencalonan nama datangnya daripada ahli gabungan, memang benar ada ahli politik, namun pertimbangan yang dibuat ialah keupayaan ahli politik itu untuk melonjakkan bola sepak dan mereka yang dipilih menunjukkan rekod cemerlang sebelum ini,” katanya.

Pada masa sama, Mukhriz berkata pihaknya akan memberi tumpuan buat pasukan Kedah supaya melayakkan diri beraksi di peringkat Asia termasuk Piala AFC pada masa depan selepas skuad Hijau Kuning itu mempamerkan aksi cemerlang pada Piala FA 2017.

Misi pasukan Kedah beraksi di Piala AFC tidak kesampaian tahun ini selepas pimpinan KFA sebelum ini tidak berjaya memperoleh lesen AFC meskipun layak secara merit selepas menjuarai Piala FA tahun lalu.

“Ada peminat dan penyokong minta kita supaya beraksi pada Piala AFC, jadi itu antara tumpuan dalam pimpinan KFA kali ini.

“Justeru, kita mahu KFA dan ahli gabungan supaya mematuhi semua syarat supaya kita layak untuk bermain di semua peringkat bukan saja di Malaysia tetapi termasuk AFC,” katanya.

Mukhriz berkata, pihaknya juga akan menyemak semula bajet tahunan KFA yang diperuntukkan sebanyak RM30 juta tahun ini dengan hanya mengutamakan perbelanjaan yang diperlukan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here