Jampi Hael Husaini menjadi, bolot trofi juarai AJL32

0
80
Advertisement

KUALA LUMPUR: Lagu Jampi ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong yang dinyanyikan sendiri Hael Husaini berjaya membolot trofi berprestij, Juara Lagu pada Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini malam ini.

Lagu yang berjaya memukau juri dan penonton tersebut membawa pulang trofi bertatahkan permata Swarovski sentuhan pereka fesyen Rizman Ruzaini, baucar CJ WOW Shop bernilai RM10,000 dan wang tunai RM50,000.

AJL32 turut menyaksikan lagu Sejati ciptaan Faizal Tahir dan Mike Chan yang didendangkan Azmi Caliph Buskers meraih tempatĀ  kedua dan sekali gus menerima wang tunai RM35,000 beserta trofi dan baucar CJ WOW Shop bernilai RM2,000.

Manakala tempat ketiga diraih lagu Tergantung Sepi ciptaan Gouffran dan Ibnu yang dinyanyikan Haqiem Rosli membawa pulang RM20,000 beserta trofi dan juga baucar CJ WOW Shop bernilai RM2,000.

Kesungguhan Altimet mempamerkan persembahan berbeza dengan persembahan ‘ala-pahlawan Melayu’ membawa tuah apabila lagu Amboi menepati ramalan muncul sebagai pemenang kategori Persembahan Terbaik sekali gus memenangi trofi, baucar CJ WOW Shop bernilai RM2,000, telefon pintar Samsung S8 dan wang tunai RM12,000.

Gandingan mantap juara program Duo Star, Syamel dan Ernie Zakri pula diumumkan sebagai pemenang kategori Vokal Terbaik menerusi duet Aku Cinta ciptaan sepenuhnya Syamel yang membawa pulang RM12,000 beserta trofi, baucar CJ WOW Shop RM2,000.

Sementara itu, Khai Bahar yang mempersembahkan lagu Bayang turut diumumkan sebagai penerima Anugerah Penyanyi Pilihan Samsung dan membawa pulang trofi dan telefon pintar Samsung A8+.

Pentas anugerah yang bertemakan ‘Fesyen dan Muzik’ turut diserikan dengan kehadiran Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang menyaksikan acara anugerah itu.

Antara lagu yang turut dipertandingkan di pentas AJL32 ialah Separuh Mati Ku Bercinta nyanyian Dayang Nurfaizah (ciptaan sepenuhnya Ajai); Akhirnya Cinta, nyanyian Salma dan ciptaan Ajai dan Slen; Aku Yang Sebenar – Hazama The Penglipur Lara (Datuk M Nasir/Ad Samad); Lebih Sempurna – Syamel (Syamel/Edry Abd Halim/Boy Anaz); Menahan Rindu – Wany Hasrita (Ibnu/Gouffran) dan Warkah Untuk Mu – Ara Johari (Hang Nadim/Laq).

Persembahan pada malam ini diadili 10 juri profesional yang diketuai komposer Azmeer.

Sementara itu, persembahan pembukaan pada acara itu turut diserikan dengan penampilan Stacy dan Waris yang menyampaikan tiga lagu iaitu Aku Stacy, Bosan dan Pakai Buang.

AJL32 yang menyaksikan Sherry Alhadad dan Alif Satar sebagai pengacara, manakala Aubrey Suwito selaku pengarah muzik turut menampilkan Datuk Awie, Siti Sarah, Datuk Jeffrydin dan Datuk A Rahman Hassan yang turut membuat persembahan.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here