'Jang… mana presiden baharu?'

0
17
Advertisement



BELAYAR tanpa nakhoda sejak bulan lalu jelas membimbangkan ahli gabungan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) yang sehingga ke hari ini masih lagi belum membuat pengumuman atau pelantikan presiden baharu selepas peletakan jawatan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ketiadaan presiden bukan sahaja mengganggu perjalanan pentadbiran PBNS dan pembangunan bola sepak di negeri itu, malah ia membawa kesan buruk kepada prestasi skuad Hobin Jang Hobin yang ketika ini berada di kedudukan tercorot Liga Super.

Koordinator Gagasan Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan, Faliq Firdaus berkata, PBNS perlu segera mengadakan pemilihan baharu terutamanya bagi mengisi kerusi presiden yang kosong.

Menurutnya, ia waktu paling sesuai untuk PBNS melakukan perubahan besar seperti penswastaan pasukan sejajar dengan kehendak pengendali liga tempatan Malaysia Football League (MFL).

“Ini masa terbaik untuk melakukan perubahan secara menyeluruh. Barisan pimpinan yang baharu (yang akan dipilih di dalam Kongres Khas PBNS) harus mengambil peluang ini untuk melihat semula secara keseluruhan proses pembangunan bola sepak negeri.

“Maklumat ini harus dimanfaatkan dalam merencana hala taju persatuan melalui pendekatan pengurusan profesional ke arah modernisasi badan induk bola sepak di Negeri Sembilan. 

“Masih banyak persatuan negeri yang belum melakukan perubahan sebenar seperti yang disebut walaupun sudah bertukar kerajaan dan individu yang layak untuk mengetuai perubahan di Negeri Sembilan ialah Menteri Besar sekarang, Aminuddin Harun atau Exco Belia dan Sukan negeri, Taufek Abd Ghani,” katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Pada 7 Jun lalu, PBNS kehilangan tokoh berpengalaman apabila Mohamad meletakkan jawatan sebagai presiden persatuan itu dengan turut diikuti oleh dua naib presiden iaitu Datuk Mohamad Haslah Mohd Amin dan Datuk Abd Ghani Hasan. 

Bagi memastikan pengurusan persatuan dan pasukan Liga Super, Piala Presiden dan Piala Belia berjalan lancar, Timbalan Presiden PBNS yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mat Ali Hassan terpaksa menjalankan tugas memangku jawatan presiden sehingga pemilihan akan datang. 

Presiden Kelab Penyokong N9futbol, Ahmad Zaini pula berpendapat, beliau mengharapkan muka baharu yang bukan dalam kalangan ahli politik dapat memimpin badan induk itu.

“Kalau ikutkan berkenaan kepimpinan, kita pun tak tahu bila mesyuarat agung PBNS akan diadakan. Kalau nak diikutkan perlembagaan, MB (Menteri Besar) bukan lagi secara automatik jadi Presiden PBNS selepas ditinggalkan Tok Mat.

“Terbaru ini saya belum dengar lagi MB kita bersetuju, cuma MB baru ini ada beri kerjasama masa kita jemput beliau ke stadium tempoh hari, tapi tak bermakna beliau sanggup untuk memegang jawatan tersebut.

“Tampuk kepimpinan baharu yang bakal menerajui PBNS, harapkan bukanlah orang politik. Sebab sebelum ini orang politik menerajuinya. Kali ini biarlah orang profesional,” kata Zaini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here