Jangan bazir masa, kata Mapan kepada PAS

0
87



Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) dari Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, para pemimpin PAS tidak sepatutnya membazir masa mencadangkan sesuatu perkara yang hampir pasti tidak akan berlaku.

“Saya agak terkejut dengan kenyataan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, yang menyarankan supaya Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak mengganggu kerusi PAS.

“Gesaan ini juga tidak selari dengan keputusan parti mahupun kenyataan pimpinan tertinggi parti yang menekankan betapa PAS tidak akan menjalinkan sebarang kerjasama dalam apa jua bentuk dengan DAP dan Amanah serta mana-mana pihak yang bersikap keras terhadap Islam,” katanya dalam kenyataan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, katanya, telah menegaskan hal ini dalam beberapa kenyataan bahawa betapa parti Islam itu akan tetap terus berpegang dengan keputusan yang telah dibuat oleh majlis syura ulama PAS.

“Presiden PAS juga telah memberikan satu ibarat yang sangat menarik iaitu bahawa ‘menyertai Barisan Nasional (BN) laksana memikul biawak hidup’ manakala ‘menyertai Pakatan Harapan biawaknya lebih besar dan penyakitnya lebih parah’,” kata beliau.

Berdasarkan kenyataan Abdul Hadi itu, tidak wajar bagi mana-mana pemimpin PAS melontarkan apa-apa cadangan yang membayangkan kesediaan PAS menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan untuk menumbangkan BN, jelasnya.

“Para pemimpin Pas perlu lebih berhati-hati di dalam membuat kenyataan bagi memastikan kenyataan mereka konsisten dengan keputusan parti mahupun kenyataan pimpinan tertinggi parti selain memastikan kenyataan mereka tidak bercanggah dengan konsep demokrasi,” ujar Kamarul Zaman lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here