'Jangan besarkan isu'

0
252
Advertisement



KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) meminta semua pihak tidak perlu memperbesarkan isu pindaan jadual Liga Super yang membabitkan aksi Johor Darul Ta’zim (JDT).

Isu berkenaan timbul selepas MFL mengubah jadual perlawanan antara JDT dan Kelantan yang sepatutnya berlangsung semalam dipinda ke Jumaat ini bagi memberi ruang sambutan kejuaraan skuad Harimau Selatan bersama penyokong mereka di Larkin.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam menjelaskan keputusan yang diambil adalah hasil persetujuan semua pasukan yang terbabit dalam pindaan jadual itu.

“Kita perlu ingat pindaan berkait pasukan lain dalam liga yang tiada kaitan langsung dengan JDT pun sudah dibuat sebelum ini.

“Misalnya perlawanan Liga Perdana antara FELDA United dan PDRM pada Isnin ini juga ditukar kepada Sabtu supaya FELDA United boleh meraikan kejuaraan bersama penyokong mereka.

“Jadi bagi saya, ini satu perkara yang sengaja dibesar-besarkan bila ia berkait dengan JDT,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

MFL memaklumkan pindaan jadual itu diputuskan Khamis lalu dan keputusan berkenaan turut membabitkan perubahan tarikh perlawanan akan datang bagi beberapa pasukan lain termasuk Kelantan, Selangor, Perak, PKNP FC, Terengganu dan Pahang.

Keputusan itu mendapat sokongan daripada jurulatih enam pasukan terbabit, namun isu berkenaan tetap dipertikai segelintir pihak dengan menganggap ia satu keputusan yang lebih mengutamakan JDT.

Justeru, Kevin menegaskan keputusan yang diambil tidak membabitkan unsur berat sebelah kerana pasukan lain juga akan mendapat ‘layanan’ sama jika berada di tempat JDT.

“Kita sudah jelaskan, ada proses tertentu sebelum pinda jadual. Tiada pihak walaupun saya sendiri atau TMJ (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) yang boleh buat keputusan pindaan.

“Proses pertama adalah persetujuan daripada semua pasukan terbabit dan keputusan kolektif daripada lembaga pengarah.

“Malah, pasukan yang membuat permohonan (pinda jadual) tidak boleh mengundi dalam mendapat keputusan permohonan mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here