Jangan biar pembangkang ketepikan kerja keras rakyat – Najib

0
317
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kemajuan ekonomi negara adalah hasil kerja keras semua rakyat Malaysia dan pembangkang tidak harus dibenar mengetepikan pencapaian itu dengan mengatakan ia tidak wujud, kata Datuk Seri Najib Razak.

“Sebanyak 2.7 juta pekerjaan. Pertumbuhan purata sebanyak 5.4 peratus sejak 2010, yang ekonomi maju dunia hanya boleh harapkan,” katanya.

Najib berkata, Pendapatan Negara Kasar meningkat lebih 50 peratus, yang merupakan peningkatan besar dalam kekayaan negara dan ini menjelaskan mengapa Tabung Kewangan Antarabangsa memuji negara ini yang berada dalam kedudukan baik untuk mencapai status berpendapatan tinggi.

“Ini adalah pencapaian semua rakyat Malaysia dan jangan biarkan sesiapa memberitahu anda sebaliknya.

“Jangan biarkan pembangkang mengetepikan pencapaian itu dengan mengatakan mereka tidak wujud atau membuat dakwaan liar bahawa negara di ambang bankrap,” kata Najib dalam satu artikel bertajuk: “Pilihan Yang Betul untuk Menjadikan Malaysia Lebih Hebat,” di sini, pada Isnin.

Perdana Menteri turut menyifatkan kalangan pembangkang hanya bersuara atas dasar mengkritik semata-mata tetapi tidak menawarkan sebarang penyelesaian dan hanya melontarkan janji yang mereka sendiri maklum tidak mungkin mampu dipenuhi.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, sebagai contoh, pembangkang mendakwa mahu memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) namun sehingga kini belum menyatakan sebarang cadangan untuk menggantikan hasil RM43 bilion yang dikutip pada tahun lepas,

“Tindakan memperkenalkan GST itu adalah antara keputusan paling sukar yang saya ambil. Saya sedar ini akan membawa kepada kenaikan beberapa harga barangan dan perkhidmatan dan memberi kesukaran kepada segelintir rakyat Malaysia.

“Bagaimanapun hakikatnya, tanpa GST ekonomi akan menjadi terlalu bergantung kepada harga minyak.

“Ini merupakan sesuatu di luar kuasa kita dan sebarang kejatuhan harga minyak, sebagaimana yang pernah dilalui beberapa tahun lepas, boleh membawa kemelesetan dan menyebabkan rakyat sengsara.

“GST sebaliknya menjadikan kita bebas dan stabil dari segi fiskal. Walaupun mungkin wujud keperitan jangka pendek, saya beri jaminan bahawa manfaatnya adalah bersifat jangka panjang dan dirasai pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Perdana Menteri berkata, pada masa ini misalnya, pembangkang turut mengancam untuk membatalkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Jika mereka membatalkan projek yang dijangka dapat mewujudkan 86,000 pekerjaan, bayangkan apa yang bakal terjadi kepada generasi muda di negeri-negeri terbabit?

“ECRL adalah contoh pelaburan besar yang telah diperjuangkan oleh kerajaan. Jika kita memutuskan untuk membatalkan ECRL, maka China juga boleh menghentikan pembelian minyak sawit dari Malaysia dan menjejaskan pekebun kecil Felda,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here